Selangor FC berada pada tahap terbaik untuk rebut slot ke Piala AFC – Tan Cheng Hoe

154

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyedari harapan menggunung daripada penyokong terhadap pasukannya untuk menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua bagi memastikan slot ke Piala AFC musim depan menjadi milik mereka.

Menurut Cheng Hoe, pasukan kini berada pada tahap terbaik namun enggan berasa terlalu selesa kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.


“Saya rasa mana-mana jurulatih kalau bersama Selangor FC dan pemain juga tahu cabaran dan demand serta jangkaan tinggi daripada penyokong.

Sebagai jurulatih saya rasa pasukan sudah berada pada tahap terbaik yang mana kita tidak terlalu fikir perkara negatif.

Tapi sudah pasti dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku tapi apa yang penting adalah setiap hari kita nampak ada peningkatan prestasi setiap pemain dan juga kita nampak setiap pemain cukup positif dan kita mahu kekalkan keyakinan dalam baki tiga perlawanan ini,”

katanya.

Selangor kini berada di kedudukan kedua Liga Super selepas 23 perlawanan selepas mengutip 52 mata dan kini cuba untuk mendapatkan sembilan mata maksimum apabila bertemu Perak FC (25 November), Kedah Darul Aman FC (2 Disember) dan PDRM FC (17 Disember).

Baki tiga perlawanan yang bakal dihadapi oleh skuad Gergasi Merah, perlawanan menentang Kedah dikatakan mampu mengesahkan slot ke Piala AFC berikutan Sang Kenari juga kini sedang mengejar kedudukan kedua dengan kelebihan satu perlawanan di tangan.

Dalam pada itu, Cheng Hoe yang menyedari masalah dalaman yang sedang dihadapi oleh pasukan Kedah ketika ini tidak memberikan kelebihan buat pasukannya.

“Yang penting kita fokus pada pasukan kita sendiri. Kita tahu pasukan Kedah ada sedikit masalah dalaman tetapi itu sebelum menjelang perlawanan.

Saya sendiri pernah ada pengalaman seperti itu. Banyak pemain bila masuk padang mereka akan bertekad mahu menang perlawanan tersebut, jadi saya rasa walaupun dengan keadaan tersebut saya tidak boleh anggap mudah perlawanan menentang Kedah nanti.”

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai persiapan pasukan menjelang perlawanan Liga Super menentang Perak FC nanti, beliau telah mengatur satu perlawanan persahabatan menentang Gombak FC pada 25 Oktober ini.

Bekas pengendali pasukan kebangsaan itu berkata perlawanan persahabatan itu diatur itu untuk mengekalkan momentum pasukan dan keserasian pemain.