Kelly Tan jadikan Maybank Championship platform untuk beliau tingkatkan keyakinan untuk kejohanan di Florida
Pemain golf profesional wanita negara, Kelly Tan tidak meletak sebarang tekanan tinggi terhadap dirinya menjelang kejohanan Maybank Championship 2023 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) bermula 26 Oktober ini.
Menurut Kelly, kejohanan kali ini tiada cut jadi beliau akan menjadikan kejohanan ini sebagai platform untuk menambah keyakinan sebelum beraksi dalam satu lagi kejohanan di Florida, Amerika Syarikat selepas ini.
“Sasaran saya kali ini adalah untuk tambah keyakinan diri kerana saya ada satu lagi kejohanan di Florida untuk menamatkan musim saya tahun ini jadi saya perlu habiskan dengan baik.
Memandangkan Maybank Championship tiada cut dan ia adalah kejohanan empat hari, bagi saya ia adalah marathon jadi setiap hari perlawanan saya akan cuba naikkan keyakinan dan jika saya mampu berbuat demikian, saya mampu berada di kedudukan atas,”
katanya.
Kelly pada masa sama turut mengakui keadaan cuaca dan lapangan akan memberi sedikit kelebihan kepada pemain-pemain dari Malaysia kerana sudah biasa bermain di situ.
Beliau pada masa sama turut memuji kondisi lapangan yang berada dalam keadaan cukup baik.
“Kondisi lapangan cukup bagus! Saya tidak pernah melihat kondisi KLGCC dalam keadaan terbaik seperti ini. Saya sememangnya akan bermain di sini setiap kali pulang ke Malaysia, jadi saya berasa amat bangga melihat kondisi lapangan.”
Dalam pada itu, Kelly turut berharap cuaca tidak berubah kepada hujan kerana ia sedikit sebanyak akan menjejaskan permainan mereka terutamanya dari segi jarak bola.
“Dengan cuaca panas ini memang bola tidak akan pergi jauh, jadi saya harap tidak hujan sepanjang kejohanan kali ini kerana jika hujan ia akan menyebabkan bola tidak dapat roll lebih jauh.”
Sementara itu, Kelly turut meluhakan keterujaannya dapat kembali beraksi dalam kejohanan besar seperti ini selepas enam tahun.
Kali terakhir beliau menyertai kejohanan besar adalah pada 2017 iaitu Sime Darby LPGA Malaysia yang mana ketika itu beliau menamatkan saingan di tangga T70.