Jangkaan kami ke sini adalah untuk belajar dari kelab besar seperti Terengganu FC – Ernest Nierras

304

Ketua jurulatih Stallion Laguna FC, Ernest Nierras memberitahu beliau tidak meletak sebarang harapan tinggi terhadap pasukannya pada perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC menentang Terengganu FC esok.

Menurut Nierras, objektif utama mereka dalam saingan adalah untuk belajar dari kelab-kelab besar seperti Terengganu.


“Jangkaan kami di sini adalah untuk belajar bagaimana kelab besar beroperasi. Bukan hanya JDT sahaja di Malaysia tapi Terengganu juga sebuah kelab besar dan beberapa lagi.

Untuk kami ini adalah kali pertama kami menyertai kejohanan Piala AFC,”

katanya.

Nierras turut memberitahu persiapan pasukan berjalan dengan baik tetapi mereka berdepan sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri bermain di rumput semulajadi kerana mereka sudah terbiasa bermain di atas rumput sintetik.

“Perbezaan kami adalah di kelab kami bermain di atas rumput sintetik jadi kadang-kala sukar untuk kami membuat persiapan kerana kami perlukan tempoh beberapa hari untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang.

Tapi bola sepak tetap bola sepak tidak kira anda bermain di mana-mana pun kerana sebagai pemain profesional kita perlu cepat menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan.”

Beliau yang mengulas mengenai dua kekalahan besar sebelum ini berkata kekalahan tersebut bukan salah pemainnya sebaliknya ia adalah salah dirinya sebagai pengendali pasukan.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa penyerang sensasi Sang Penyu, Jordan Mintah merupakan bekas pemainnya di Stallion Laguna.

“Mungkin anda tidak tahu bahawa ada bekas pemain Stallion di Terengganu iaitu Jordan Mintah. Untuk pengetahuan anda juga, beliau pada mulanya bermain di bahagian pertahanan tapi saya tukar beliau kepada posisi penyerang.

Jadi saya sangat bangga apabila melihat pemain saya dapat berhijrah bermain dengan kelab besar di luar negara.”

Sementara itu, bagi kapten pasukan Matthew Nierras yang merupakan anak kepada pengendali kelab itu kagum dengan prestasi yang dipamerkan oleh pasukan lawan terutamanya apabila berjaya menewaskan pasukan gergasi seperti Central Coast Mariners.

“Selepas perlawanan kami menentang Bali United, saya menonton aksi antara Terengganu dan Central Coast Mariners dan berasa cukup kagum apabila juara dari Australia itu tewas dan saya berkata bahawa mereka adalah pasukan yang hebat dan mampu berada di puncak kumpulan.”

Pada perlawanan ketiga peringkat Kumpulan G, Terengganu menjadi pasukan pilihan untuk menang pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) esok.