Abraham Placito mahu rakan sepasukan lebih tenang bertemu Terengganu FC esok
Pemain Stallion Laguna FC, Abraham Placito mengakui cabaran besar menanti pasukannya esok apabila mereka akan bertemu dengan Terengganu FC dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Terdahulu Stallion Laguna telah mengalami dua kekalahan besar iaitu 5-2 kepada Bali United dan 9-1 kepada Central Coast Mariners (CCM).
“Saya mahu tunjuk kualiti dan kelas tersendiri tidak kira menentang dengan mana-mana pasukan dan untuk pemain-pemain yang gemuruh, mereka sepatutnya lebih tenang dan belajar dari pemain lawan.
Peluang bertemu dengan pasukan di peringkat antarabangsa membolehkan mereka belajar banyak perkara. Saya teruja dengan perlawanan esok,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Placito mengakui perlawanan menentang Bali United sebelum ini adalah perlawanan yang sengit kerana pasukannya mampu memberi saingan tetapi perbezaan kualiti dan pengalaman menjadi faktor pasukan lawan mampu menjaringkan gol.
“Menentang Bali United saya rasa perlawanan itu sengit, tetapi apabila bertemu dengan CCM anda dapat melihat jurang yang cukup besar kerana pasukan dari Australia itu adalah sebuah pasukan yang lengkap dengan pemain-pemain berkualiti.”
Dalam pada itu, beliau juga tiada masalah untuk bermain dalam keadaan cuaca panas apabila perlawanan di antara Stallion Laguna dan Terengganu akan berlangsung pada pukul 4.00pm.
“Saya tiada masalah untuk bermain di bawah cahaya matahari kerana sudah terbiasa tetapi sudah pasti akan ada pemain yang akan bergelut tapi kita tidak boleh bagi alasan kerana kedua-dua pasukan akan bermain dalam keadaan yang sama.
Jadi kita lihat pasukan mana yang boleh ‘tahan panas’ dan keluar sebagai pemenang.”