Natasha Andrea akui gemuruh bermain satu flight dengan Lydia Ko

174

Pemain golf profesional negara, Natasha Andrea Oon memberitahu beliau tidak berdepan masalah apabila turun beraksi pada hari pertama kejohanan Maybank Championship 2023 pada tadi selepas berjaya membuat 70 pukulan untuk mengumpul dua di bawah par.

Natasha mengakui berasa gemuruh pada lubang pertama berikutan bermain bersama pemain terkenal Lydia Ko dan Hannah Green, namun beliau tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri.


“Pada lubang pertama saya berasa sedikit takut dan gementar kerana ramai orang yang hadir pada hari ini tapi ini adalah acara besar jadi sudah pastinya akan ramai orang datang.

Tapi selepas beberapa lubang saya berasa lebih selesa dan rasa pengalaman seperti bermain dengan rakan-rakan,”

katanya.

Biarpun berkongsi kedudukan T40 bersama 11 pemain lain, namun Natasha berpuas hati dengan permainannya hari ini apabila berjaya melakukan pukulan yang baik sepanjang 18 lubang.

“Saya rasa bermain dengan baik hari ini dengan beberapa lubang saya boleh attack. Untuk esok saya belum ada lagi game plan kerana saya seorang yang mempunyai naluri di mana saya tahu bila untuk bermain selamat dan bila hendak attack.

Dengan tidak tahu di mana pin akan diletakkan esok dan keadaan cuaca macam mana, jadi saya akan bermain seperti biasa.”

Sementara itu, Natasha tidak meletakkan sebarang sasaran untuk kejohanan kali ini sebaliknya hanya mahu komited untuk buat pukulan-pukulan yang baik sepanjang 18 lubang.