Kim Pan-gon akan mempertimbangkan pemain cadangan TMJ untuk ke Piala Asia?
Didalam suatu program bual bicara Astro Arena, Nindia Bola bersama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) pada 23 Oktober lalu, beliau sempat menyenaraikan nama-nama pemain JDT yang dirasakan layak menyarung jersi Harimau Malaya di Piala Asia yang akan bermula tidak lama lagi.
Pemain yang disebut adalah Syafiq Ahmad, Feroz Baharudin, Afiq Fazail dan Syahmi Safari.
TMJ menyifatkan mereka sebagai pemain-pemain yang berkualiti, sering memberikan komitmen yang jitu, dan pemain yang baik secara keseluruhannya.
Tambahan pula, pemain sayap pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad berjaya menyumbangkan gol buat pasukan itu pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia malam Khamis.
Namun begitu, adakah pandangan TMJ ini akan dipertimbangkan oleh ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon?
Pan-gon yang telah membimbing skuad kebangsaan sejak Januari tahun lalu ternyata telah berjaya melonjakkan ‘ranking’ pasukan negara dan juga mendidik anak buahnya dengan sangat baik.
Beliau semestinya lebih bijak dalam menilai dan memerhatikan reputasi para pemain untuk kesebelasan utama pasukan negara.
Skuad kebangsaan yang dijadualkan akan bersaing dengan pasukan-pasukan hebat didalam saingan peringkat Kumpulan E iaitu dari Korea Selatan, Bahrain dan Jordan, sememangnya ingin memberi persembahan yang terbaik buat setiap perlawanan.
Piala Asia 2023 akan bermula pada 12 Januari hingga 10 Februari tahun hadapan dan menyaksikan Qatar sebagai tuan rumah.