Nak dapat stadium canggih! Boleh kekal ‘canggihkan’ prestasi Red Giants ke?
Berita perobohan Stadium Shah Alam yang dirancang akan dijalankan pada bulan ini sudah tentu suatu khabar duka dan sukar untuk diterima rata-rata penyokong pasukan Selangor FC.
Stadium ikonik yang telah menjadi rumah buat pasukan tersebut selama 29 tahun itu meninggalkan banyak kenangan pahit dan manis buat semua penyokong.
Namun ianya tidaklah sepenuhnya untuk ditangisi kerana pasukan Red Giants akan menerima ‘rumah’ baharu di dalam Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) menjelang 2026.
Stadium yang dikatakan bertaraf dunia itu menganggarkan kos projek sebanyak RM787 juta, mempunyai keluasan sebesar 76.08 hektar dan mampu memuatkan kira-kira 35,000 hingga 45,000 penyokong.
Sebanyak 60 peratus kawasan di dalam KSSA adalah untuk sukan termasuk gelanggang ‘indoor’, dewan serbaguna, masjid, hotel, ruang acara, ruang jualan, serta lokasi konsert dan lebihan 40 peratus adalah kawasan rekreasi awam.
Bukan hanya banyak kemudahan, ianya juga dikhabarkan mempunyai ciri-ciri moden kerana padang tersebut miliki teknologi ‘retractable pitch’ yang boleh bertukar daripada mod sukan kepada acara dalaman.
Bagaimanapun, mampukah stadium secanggih ini menyuntik semangat sekaligus mengekalkan kecanggihan prestasi dan reputasi pasukan Red Giants?
Contoh dapat dilihat seperti pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan membuka Stadium Sultan Ibrahim pada 2020 yang punyai kos anggaran sebanyak RM200 juta.
Sememangnya pasukan yang telah 10 kali menjulang piala Liga Malaysia sejak 2014 dan juga menjuarai kejohanan Piala AFC pada 2015 itu tidak perlu menunggu stadium baharu untuk mengekalkan kecemerlangan pasukan sehingga kini.
Sudah tentu semua mata akan lebih tertumpu kepada pasukan Red Giants selepas ini dengan wujudnya stadium canggih yang juga boleh menjadi pusat komersial orang ramai.
Jumlah gol serta pemarkahan yang lebih luar jangkaan pasti akan dinanti-nantikan dan dinilai dengan jauh lebih tinggi buat rakyat Malaysia khususnya penyokong Selangor FC itu sendiri.
Bayangkan betapa hampanya penyokong mereka sekiranya corak permainan pasukan itu tidak kekal konsisten dan masih selesa berada dibawah pasukan JDT didalam kedudukan liga.
Bolehkah juga kita sebagai rakyat Malaysia menjaga sebaiknya serta memanfaatkan fasiliti stadium sehebat ini?
Melihatkan kemajuan pada masa-masa akan datang, kita pastinya tidak mahu meneruskan mentaliti kelas ketiga yang boleh menjejaskan hubungan sesama penyokong didalam mahupun di luar negara.
Sebagai contoh, kekecohan yang terjadi sewaktu perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi suatu ketika dahulu tidak patut berulang kembali.
Tragedi yang menyaksikan perlawanan terhenti pada minit ke-88 selepas penyokong berterusan membaling suar ke padang dalam jumlah yang sangat banyak tersebut adalah sejarah yang amat memalukan negara.
Setiap rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar terhadap peristiwa hitam itu dan berganding bahu melindungi kecanggihan stadium yang bakal siap dibina 3 tahun ini dari sekarang.