Kim Pan-gon kekal kemudi Harimau Malaya sehingga tamat kelayakan Piala Dunia/Piala Asia

334

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memberitahu bahawa ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon kekal bersama skuad sehingga selesai kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Betul Kim Pan-gon telah merangka segala program-program sehingga tahun hadapan,”

katanya.

Noor Azman berkata demikian selepas ditanya mengenai status pengendali dari Korea Selatan itu selepas beliau sebelum ini menandatangani kontrak 2+1.


Biarpun tiada pengesahan mengenai status KPG, namun dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh skuad Harimau Malaya memberi bayangan bahawa berkemungkinan besar akan menandatangani kontrak lanjutan dalam masa terdekat ini.

“Status KPG berada dibawah bidang kuasa Jawatankuasa Pasukan yang Pengerusi-nya adalah Presiden FAM jadi biar mereka bincang dalam Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan nanti.”

Jelasnya lagi, keputusan mengenai status KPG akan diumumkan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Pan-gon baru sahaja mengeluarkan senarai 25 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya bermula Jumaat, 10 November bagi menghadapi perlawanan pertama dan kedua Kumpulan D, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz pada 16 November dan Chinese Taipei pada 21 November.

Selain itu, skuad negara juga kini mempunyai tempoh dua bulan untuk membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Doha, Qatar pada Januari depan.