Tengku Nana fokus pada pembangunan terlebih dahulu, namun tak tolak akan kendali kelab profesional satu hari nanti

2,831

Pemilik kelab TSS Selangor, Tengku Shakirinal Shah memberitahu bahawa fokusnya ketika ini adalah pada pembangunan akar umbi terlebih dahulu dan belum memikirkan untuk mengendalikan kelab bola sepak profesional.

Tengku Shakirinal atau lebih dikenali dengan panggilan Tengku Nana bagaimanapun tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti akan menuju ke arah itu.


“Setakat ini saya mahu fokus pada pembangunan bola sepak belia sahaja sebab jika hendak uruskan pasukan besar ni agak pening kepala sikit. Banyak duit yang nak kena keluar, nak kena cari penaja lagi.

Mana tahu satu hari nanti insyaAllah kalau ada rezeki mungkin saya ke arah itu,”

katanya.

Terdahulu, pemilik kelab gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris pernah meninggalkan komen dan pandangannya pada video temubual eksklusif Harimau Malaya dengan berkata Tengku Nana adalah orang yang paling layak menjadi pemilik Selangor FC.

“Inilah orang yang paling layak jadi pemilik Selangor FC. Yang mendidik saya tentang bola sepak semasa saya kecil adalah abang saudara saya, Tengku Shakirinal a.k.a Tengku Nana. Bola sepak adalah darah daging dia. Tanya sahaja dengan mana-mana budak Shah Alam tentang Tengku Nana. Semua orang tahu. Ini adalah orang yang betul-betul minat dan tahu bola sepak.”

Mengulas mengenai kenyataan dari TMJ itu, Tengku Nana dengan rendah diri mengakui pengetahuannya dalam dunia bola sepak tidak setinggi TMJ.

“Panggilan ‘Guru Bola’ tu terlalu tinggi sangat buat saya. Saya membesar dengan bersama-sama, main bola bersama-sama mungkin saya ajar sebab saya lebih tua dari baginda tapi main bola saja.

Kalau pengetahuan mengenai bola sepak, TMJ jauh lebih tinggi sekarang, malah saya sendiri banyak tanya dengannya.”

Sementara itu, Tengku Nana turut gembira apabila dua pasukannya iaitu TSS Selangor dan TSS Darul Ehsan berjaya mendominasi kejohanan Singa Cup 2023 yang berlaku di Singapura sekaligus menganggap ia sebagai hadiah bersempena ulang tahun kelahiran ke-43nya.

“Alhamdulillah sasaran kita mahu lihat kedua-dua pasukan mara ke final berjaya, memang cita-cita kita mahu cipta kejayaan di peringkat antarabangsa.”

Beliau turut menyatakan bahawa bakat-bakat dari Malaysia cukup berkualiti apabila banyak pasukan dari Malaysia yang berjaya mara ke peringkat kalah mati.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen