Ong Kim Swee yakin Sabah FC mampu berikan persembahan di paras optimum
Ketua jurulatih Sabah FC Ong Kim Swee percaya pasukan didikannya mampu memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan menentang Hai Phong FC malam ini.
Beliau yang melihat kebaikan bermain di gelanggang sendiri itu juga mengatakan pasukannya telah memperbaiki corak permainan sejak perlawanan di tempat lawan bulan lalu.
“Tidak perlu gusar bermain di tempat sendiri. Ianya memberi kelebihan namun tetap tidak boleh diambil mudah.”
Katanya.
Jurulatih itu berkongsi tentang keadaan anak buahnya yang dilihat amat baik dan bersedia namun kesebelasan utama masih belum ditentukan.
“Semua pemain dalam keadaan bagus, tetapi saya masih perlu teliti beberapa pemain.”
“Saya juga harus menganalisa dan mengambil kira faktor keletihan pemain kebangsaan seperti Darren, Dominic dan Stuart.”
Kim Swee turut menyebut bahawa perlawanan ini adalah teramat penting demi melayakkan pasukan secara automatik untuk ke peringkat seterusnya.
Beliau melihat sekiranya kemenangan berpihak kepada Sabah FC, ianya mampu menaikkan ‘ranking’ kelab sekaligus menjadi terus salah satu wakil Malaysia di kejohanan piala AFC selain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC.
Beliau juga tidak menafikan kehebatan pasukan Hai Phong FC yang disifatkan cepat bangkit memperbaiki langkah permainan.
Pemain pertahanan tengah Dominic Tan mengatakan pasukannya mampu memberikan saingan yang terbaik dengan kelebihan menjadi tuan rumah.
“Hai Phong FC sememangnya sebuah pasukan yang hebat namun oleh sebab kami yang menjadi tuan rumah kali ini, maka kami akan berusaha sebaik mungkin demi mendapatkan tiga mata tersebut.”
“Sudah pasti mereka memiliki pemain tempatan dan juga pemain import yang hebat, tetapi ianya penting bagi Sabah FC untuk memenangi perlawanan ini.”