Kelab Liga Super akan lebih parah musim depan selepas FAM wajibkan skuad Piala Presiden & Piala Belia

545

Saingan Liga Malaysia pada musim 2023 sudah hampir melabuhkan tirainya tidak lama lagi dan boleh dikatakan musim ini antara musim yang cukup bermasalah apabila banyak kelab yang mengalami masalah kewangan.

Bukan satu atau dua pasukan tetapi dilaporkan sebanyak enam pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji termasuk kelab gergasi yang masih lagi belum selesai.


Tidak cukup dengan masalah sedia ada, kelab-kelab yang bersaing dalam Liga Super seperti terkena satu lagi tamparan hebat apabila baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan bahawa kelab yang akan bersaing di Liga Super perlu mempunyai skuad Piala Presiden (B-20) dan Piala Belia (B-18).

Perkara itu diputuskan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif kali kesembilan bagi penggal 2021-2025.

FAM dalam satu sidang media tersebut telah berkata perkara itu adalah sebahagian daripada syarat pelesenan kelab yang mana kegagalan kelab untuk memenuhi kriteria itu tidak akan diberikan Lesen Kebangsaan.

Biarpun menyedari masalah tunggakan gaji yang melanda banyak kelab, Pengarah Teknikal FAM iaitu Scott O’Donell berkata pengurusan kelab perlu bijak dalam menguruskan bajet dan berbelanja mengikut kemampuan.

O’Donell berkata untuk skuad Piala Presiden dan Piala Belia, kelab tidak perlukan skuad yang besar kerana mereka boleh lakukan rotasi pemain dari kedua-dua kejohanan itu.

Manakala, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff bin Haji Mahadi juga sedar beban yang akan ditanggung oleh kelab dengan penambahan skuad Piala Presiden dan Piala Belia, tetapi beliau berkata usaha ini adalah untuk pembangunan bola sepak negara.

Tidak dinafikan apa yang diperkatakan oleh Yusoff Mahadi adalah benar iaitu kita sepatutnya memberi fokus kepada pembangunan bola sepak negara supaya kita dapat lahirkan lebih ramai pemain berkualiti.

Ia adalah satu inisiatif yang bagus tetapi tidak guna juga jika tetapkan syarat itu jika masalah tunggakan gaji terus berleluasa.

Bagaimana pemain hendak bermain mati-matian sekiranya nak menyara hidup sendiri pun tidak mampu dek tidak dibayar gaji?

Sudah pastinya kelab-kelab yang akan bersaing di Liga Super musim depan akan sedaya upaya untuk memastikan mereka mempunyai skuad Piala Presiden dan Piala Belia, namun pastinya masalah akan timbul sebaik sahaja saingan liga bermula.

Realitinya sukar untuk kelab bola sepak untuk menjana keuntungan dalam industri bola sepak di Malaysia ini termasuklah kelab gergasi seperti Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ) sendiri mengakui berdepan tekanan dalam menguruskan kelab terutama dari segi kewangan.

TMJ turut mengakui baginda dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim terpaksa keluarkan wang mereka sendiri untuk tampung perbelanjaan kelab.

Jika JDT yang merupakan kelab paling berjaya juga mempunyai masalah sama, jadi kelab yang tidak mempunyai pemilik kaya seperti JDT pastinya akan lebih parah.

Apa pun kita lihat apa yang akan terjadi pada musim hadapan dengan syarat baru ini.