Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 lebih penting dari Piala Asia 2023, kita boleh ‘makan’ Kyrgyzstan, Taiwan – Hamidin Mohd Amin

597

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan bahawa aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 adalah lebih penting buat skuad kebangsaan berbanding Piala Asia 2023.

Ini kerana menurutnya, skuad kebangsaan akan meraih tujuh manfaat sekiranya layak ke pusingan kelayakan seterusnya.


“Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 adalah lebih penting berbanding Piala Asia 2023 nanti kerana apabila kita menjadi 18 pasukan terbaik, kita akan dapat tujuh manfaat.

Sudah tentu Piala Asia juga adalah penting, lebih-lebih lagi selepas kita layak secara merit selepas 43 tahun tetapi jika kita tidak berjaya ke peringkat seterusnya dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, kita akan kehilangan manfaat tertentu.

katanya.

Antara manfaat yang disebutkan adalah peluang untuk menentang lawan yang kuat, termasuk lawan bertaraf dunia, di pusingan seterusnya, potensi untuk mengutip mata ranking FIFA yang lebih banyak, serta mencatat sejarah layak ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia buat kali pertama dan lain-lain.

Hamidin turut meluahkan keyakinannya bahawa Malaysia mampu layak ke pusingan seterusnya berdasarkan kumpulan yang Malaysia duduki.

“Sebagai presiden memang saya yakin, sudah tentu dengan izin Allah, bahawa pasukan kita boleh makan Kyrgyzstan dan Taiwan, serta mungkin boleh mencabar Oman di tempat kita.

Jika kita tak boleh tewaskan mereka, maksudnya kita masih belum boleh bersaing dengan pasukan di tangga 10 teratas Asia.”

Hamidin berharap penyokong faham akan kepentingan aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ini dan ramai-ramai hadir memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan pada Khamis ini menentang Kyrgyzstan.

Katanya, Malaysia tidak boleh keciciran tiga mata daripada perlawanan pertama Khamis ini sekiranya mahu berada dalam kedudukan yang terbaik layak ke pusingan seterusnya.