Galven Green mahu ikut jejak langkah abangnya Gavin beraksi di DP World Tour satu hari nanti
Pemain golf profesional negara Galven Green merupakan antara pemain yang sedang meningkat naik mahu mengikut jejak langkah abangnya Gavin Green beraksi di jelajah luar negara satu hari nanti.
Gavin ketika ini menjadi satu-satu pemain golf profesional dari Malaysia yang beraksi di Eropah dalam DP World Tour.
“Gavin ‘tegas’ dengan saya tapi beliau sering memberi motivasi untuk menjadi lebih baik. Sasaran saya sudah pastinya mahu mengikut jejak langkahnya bermain di jelajah luar negara sekaligus bermain di level tinggi di jelajah Eropah.
Ia juga adalah sasaran kami sebagai adik beradik untuk bermain di jelajah yang sama jadi saya harap satu hari nanti ia akan menjadi kenyataan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Galven bagaimanapun tidak meletakkan sebarang tempoh masa untuk cuba merealisasikan impiannya kerana bimbang ia akan memberi lebih.
“Saya akan cuba buat yang terbaik kerana jika saya tetapkan masa untuk saya realisasikan perkara itu ia akan memberi lebih tekanan pada saya, tapi saya berharap pada masa akan datang ia dapat direalisasikan.”
Terdahulu, beliau yang bergelut dengan prestasi sepanjang Toyota Tour akhirnya berjaya menjulang kejuaraan pertamanya apabila menjuarai Alphard Cup yang berlangsung di Kota Seriemas Golf & Country Club pada Oktober lalu.
Kemenangan itu sekaligus melonjakkan namanya ke kedudukan keempat Order of Merit selepas enam kejohanan apabila mengumpul wang hadiah terkumpul sebanyak RM70,194.00.
Dalam pada itu, menjelang kejohanan terakhir iaitu Toyota Tour Championship Asian Development Tour (ADT) yang akan berlangsung di Saujana Golf & Country Club bermula esok 15 hingga 18 November ini, Galven berkata beliau sudah bersedia untuk teruskan momentum cemerlangnya.
“Pada awal musim saya bergelut sedikit dengan permainan iron saya tapi kini semakin baik jadi untuk esok saya tidak letak harapan terlalu tinggi sebaliknya mahu pastikan setiap pukulan saya baik.”
Sementara itu, Galven turut berkata selain punya impian untuk bermain di Eropah, misi utamanya ketika ini adalah untuk cuba melayakkan diri ke Asian Tour terlebih dahulu.
“Sudah pastinya sasaran utama untuk ke Asian Tour. Masih ada baki dua kejohanan jadi harap ia dapat membantu tapi jika tidak berjaya saya berbincang dengan ibu bapa serta abang saya untuk lihat pilihan terbaik.”
Beliau juga tidak menolak mungkin akan berhijrah ke Thailand untuk bermain di All Thailand Golf Tour, namun ia masih lagi belum diputuskan.