Ainil Johari gembira lihat semakin ramai wanita ceburi sukan golf
Pemain golf profesional wanita negara, Ainil Johari Abu Bakar gembira melihat semakin ramai golongan wanita terutamanya kanak-kanak perempuan (junior) menceburi sukan golf.
Menurut Ainil, berbeza ketika waktunya beliau menceburi sukan golf yang didominasi oleh lelaki tetapi kini semakin ramai ibu bapa yang memperkenalkan sukan golf kepada anak perempuan mereka.
“Masa saya main dahulu junior perempuan tidak ramai, tapi sekarang kita pergi di kelab golf atau akademi kita dapat lihat semakin ramai junior perempuan yang main.
Ibu bapa sekarang ini banyak melibatkan anak perempuan mereka dengan sukan ini selain mendidik mereka bahawa sukan ini bagus untuk mereka,”
katanya.
Tambahnya lagi, sukan golf kini tidak sukan ‘berada’ seperti yang diperkatakan sebelum ini kerana sesiapa sahaja kini boleh mendapat akses untuk bermain golf.
Pada masa sama pemain golf junior juga kini mempunyai akses kepada kejohanan yang semakin banyak dianjurkan di Malaysia ketika ini.
Dalam pada itu, pemain berusia 34 tahun ini berkata pihak bertanggungjawab perlu mengikut jejak langkah seperti di Thailand dan Filipina yang mana mereka ‘pusing’ satu negara untuk cari bakat baru.
“Saya rasa kita memang buat tapi saya harap kita dapat buat dengan lebih lagi, pergi ke tempat-tempat pendalaman untuk cari bakat-bakat baru.
Kalau kita dapat galakkan penaja atau persatuan untuk tarik lagi ramai kanak-kanak daripada pendalaman dan kita asah dari situ macam mana Thailand dan Filipina buat, mereka pusing seluruh negara buat pemilihan. Dari situ kita dapat buat program pembangunan junior.”
Sementara itu, Ainil yang berpengkalan di Eropah iaitu beliau bermain di Ladies European Tour tetap sentiasa memberi sokongan kepada jelajah golf tempatan dan akan turut menyertai kejohanan biarpun pulang dalam tempoh yang singkat.
Beliau merupakan antara pemain golf wanita negara yang turut beraksi dalam Toyota Tour yang mana beliau sudah pun bermain sebanyak tiga kejohanan.
“Setiap kali saya bermain di Toyota Tour mesti ketika saya baru sampai Malaysia. Seperti yang saya katakan saya cintakan tanah air dan mahu beri sokongan pada golf Malaysia.
Tak kisah saya ‘jetlag’ ke apa ke saya tetap akan turun beraksi. Bagi saya Toyota Tour membuat kerja dengan cukup baik dan saya bersyukur kerana kita punya jelajah sendiri yang mana ia semakin berkembang sekaligus bagus untuk pemain golf profesional negara.”