Suttinon Panyo mahu kekalkan permainan ‘selamat’ pada hari kedua Toyota Tour Championship (ADT)
Pemain golf profesional Thailand, Suttinon Panyo cemerlang pada hari pertama Toyota Tour Championship (ADT) selepas berjaya melakukan tujuh birdie dan dua bogey untuk mencatatkan skor 67 pukulan empat dibawah par sekaligus menjadi pendahulu sementara.
“Hari ini saya bermain dengan tujuh birdie dan dua bogey. Pukulan driver saya hari ini sangat baik sekaligus membantu saya untuk mencatatkan skor yang rendah hari ini.
Ini merupakan kali pertama saya bermain di sini, jadi perancangan saya ketika ini adalah untuk kekal bermain dengan ‘selamat’ bagi memastikan saya melepasi cut esok,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Panyo kini mendahului dengan kelebihan satu pukulan sahaja dihadapan tiga lagi pemain lain termasuk pemain golf profesional Malaysia, Galven Green yang mencatat skor empat dibawah par.
Beliau merupakan salah seorang daripada 144 pemain golf profesional dari seluruh dunia menyertai kejohanan ADT yang berlangsung di Saujana Golf & Country Club selama tiga hari bagi merebut kejuaraan yang menawarkan wang hadiah terkumpul sebanyak RM350,000.
Dalam pada itu, untuk kejohanan kali ini beliau telah meletak sasaran untuk menamatkan kejohanan di kedudukan Top 10 untuk memperbaiki kedudukan ranking ADT Order of Merit yang mana beliau kini berada di kedudukan ke-35.
Terdahulu, Panyo yang berjaya menamatkan kejohanan PKNS Selangor Masters di kedudukan kelima baru-baru ini berkata beliau tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Malaysia.