Bonus lumayan andai layak ke pusingan ketiga, Malaysia kena contohi kemurahan hati Madame Pang?

260

Sekiranya pemain skuad kebangsaan diberikan habuan yang menarik demi mengumpul seberapa banyak mata sekaligus menaikkan kedudukan pasukan secara keseluruhan, adakah mereka akan beraksi dengan jauh lebih cemerlang? 

Pemberian atau ‘reward’ selepas suatu tugasan pastinya mampu menaikkan motivasi seseorang walau seberat mana pun kerja itu. 


Jika dilihat dari aspek suntikan motivasi dan semangat buat bintang-bintang Harimau Malaya, barangkali tip seperti wang tunai adalah idea yang terbaik.

Di Thailand, pemain mereka seringkali mendapat pemberian seperti ini daripada pengurus pasukan bola sepak Thailand, Madame Pang atau nama sebenarnya, Nualphan Lamsam. 

Beliau yang juga merupakan ketua pasukan bola sepak Port F.C dan Ketua Pegawai Eksekutif Muang Thai Insurance, dilihat tidak henti memberikan sokongan moral buat pasukan naungannya dengan menghadiahkan imbuhan berbentuk wang tunai yang cukup lumayan demi memenangi sesuatu perlawanan. 

Baru-baru ini sahaja, beliau telah mengumumkan untuk menghulurkan bonus andai kata skuad Thailand berjaya melepasi peringkat Kumpulan C dan mara ke pusingan ketiga perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. 

Beliau telah menawarkan sejuta baht (RM131,000) buat kesemua pemain termasuk staf mereka untuk setiap mata yang disumbangkan oleh pasukan nasional negara itu. 

Jumlah wang itu juga akan terus berganda mengikut amaun mata yang diberikan pasukan mereka.

Patutkah ganjaran sebegini dijadikan contoh oleh mana-mana sektor swasta atau individu berpengaruh yang mampu demi menggalakan kemenangan berterusan skuad Harimau Malaya? 

Sudah pasti para pemain akan beraksi dengan lebih bertenaga dengan wujudkan inisiatif seperti ini. 

Lebih-lebih lagi selepas pelbagai spekulasi tentang isu lewat pembayaran gaji pemain selama berbulan-bulan yang terus menghantui minda mereka sejak kebelakangan ini. 

Kos sara hidup yang tinggi kini juga perlu difikirkan demi kelangsungan hidup seseorang pemain.  

Perlukah Malaysia memiliki ‘Madame Pang’ kita yang tersendiri?