Ezmeer Merican masih menanti kejuaraan profesional pertamanya tiba

308

Impian pemain golf profesional muda negara, Ezmeer Rezza Merican untuk menjulang kejuaraan profesional pertamanya masih belum dapat dicapai selepas beliau bergelut untuk mencatatkan skor baik pada hari kedua Toyota Tour Championship (ADT).

Biarpun bermain agak baik berbanding hari pertama, Ezmeer hanya mampu mencatat 74 pukulan dua diatas par untuk mengumpul 150 pukulan dengan enam diatas par sekaligus gagal melepas ‘cut’.


“Hari ini saya bermain baik sedikit berbanding semalam apabila mencatatkan dua diatas par dengan keseluruhan enam diatas par. Untuk hari ini ada beberapa lubang saya ‘koyak’ sikit tapi saya berjaya cover balik.

Saya turun hari ini dengan lebih yakin dan banyak selamatkan par sebab hari ini banyak juga green saya terlepas. Selain itu, driving saya juga banyak bantu untuk saya bermain dengan lebih baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Mengakui masih menanti kejuaraan pertamanya selepas bergelar pemain golf profesional sejak lima tahun lalu, pemain berusia 23 tahun itu percaya beliau mampu menjulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan pada tahun hadapan.

“Ya, tahun ini sedikit bergelut tetapi saya sentiasa komited dalam meningkatkan kualiti dan memperbaiki kelemahan. Saya yakin tahun depan saya mungkin akan rangkul sekurang-kurangnya satu kejuaraan.”

Ezmeer yang berasal dari Selangor pada tahun ini beraksi dalam jelajah domestik Toyota Tour yang mana beliau sudah pun bermain dalam tujuh kejohanan.

Beliau kini berada pada kedudukan ke-51 daripada 85 pemain dalam Order of Merit (OOM) dengan mengumpul wang hadiah sebanyak RM8,363.80.

Sementara itu, Ezmeer turut mengakui terdapat jurang diantara pemain tempatan dan luar negara.

“Untuk bermain dengan mereka (pemain luar negara), anda perlu bermain dengan baik untuk bersaing dengan mereka dan paling utama adalah perlu konsisten jika mahu jadi pencabar kejuaraan.”