Tiada masalah pemain muda negara berkelana di Eropah walaupun kurang minit permainan – Annil Vigneswaran
Pemain negara yang bermain bersama kelab divisyen tiga Jerman, Waldhof Mannheim II iaitu Annil Vigneswaran menyifatkan tiada masalah buat pemain muda negara yang mahu terus berkelana di Eropah walaupun kurang minit permainan.
Beliau mengakui bahawa minit permainan juga adalah penting untuk pembangunan pemain muda, namun sekiranya pemain itu mahukan pengalaman bersama kelab Eropah terlebih dahulu, itu bukanlah pilihan yang salah.
“Bermain di Eropah bukanlah mudah, saya lihat ada dua pandangan mengenai perkara ini. Pertama jika pemain itu mahukan pengalaman di Eropah mengapa tidak?
Tetapi jika pemain itu mahukan minit permainan, dia boleh kembali ke Malaysia atau ke liga lain di Asia, tetapi sekiranya mahu terus meraih pengalaman di Eropah boleh saja,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau memberi contoh penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang kini sudah tiga tahun berkelana di bumi Eropah.
Pemain berusia 20 tahun itu berkata, walaupun Luqman tidak mempunyai minit permainan yang banyak, ia tidak menjadi masalah kerana beliau masih muda, dan boleh terus mencuba untuk merebut tempat.
“Bagi saya Luqman adalah seorang pemain yang hebat, dia mempunyai potensi dan masih muda lagi.
Jika dia mahu terus kutip pengalaman di Eropah boleh saja, saya rasa dia boleh berjaya.”
Pemain versatil yang boleh beraksi di bahagian pertahanan serta tengah itu berkata, beliau juga mahu terus beraksi di Eropah dan memasang impian untuk beraksi di divisyen yang lebih tinggi di Jerman satu hari nanti.
Beliau juga sentiasa berhubung dengan kelab-kelab di Asia untuk potensi pada masa hadapan, termasuklah Pengarah Sukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Martin Prest yang sentiasa memberinya nasihat mengenai kariernya.
Tambahnya, sekiranya diberi peluang, beliau mahu beraksi bersama skuad B-23 negara untuk Piala Asia B-23 pada April tahun depan.
Beliau pernah beraksi bersama skuad B-23 negara sebelum ini di bawah bimbingan Brad Maloney.