Tiada kata-kata untuk gambarkan kekecewaan tewas kepada Malaysia – Batyrkanov Ernist
Pemain kebangsaan Kyrgyzstan, Batyrkanov Ernist tiada kata-kata untuk menggambarkan kekecewaan tewas 4-3 kepada Malaysia selepas mendahului 3-1 pada satu ketika.
Katanya, mereka akan menganalisis perlawanan itu untuk melihat kesilapan mereka dan bangkit kembali pada perlawanan seterusnya.
“Ia adalah satu perlawanan yang sukar, kami akan menganalisa perlawanan ini dan bangkit kembali pada perlawanan seterusnya, ada lagi lima perlawanan.
Daripada 3-1 mendahului kepada tewas 4-3, tiada kata-kata tetapi hanya emosi, tetapi masih ada lagi lima perlawanan,”
katanya.
Sementara itu, beliau mengatakan bahawa kesukaran untuknya menyesuaikan diri dengan gaya permainan di Malaysia mungkin menyebabkan beliau hanya bertahan enam bulan dengan Kelantan United.
Katanya, gaya permainan bola sepak di sini berbeza, selain agak sukar untuknya bermain di bahagian sayap sedangkan posisi asalnya sebagai penyerang tengah.
Beliau menyertai Kelantan United pada awal musim ini sebelum meninggalkan kelab ketika pertengahan musim.