Ini bukan perlawanan kelab! Kenapa nak kecam pemain Harimau Malaya?
Kini semuanya berada dihujung jari, laman media sosial semakin hari semakin mudah menjadi ruang bagi berkongsi maklumat dan pendapat seseorang.
Namun, terma ‘kebebasan bersuara’ tak patut kita salah gunakan dengan merendahkan martabat orang atau pihak yang lain.
Di dalam sukan bola sepak, peluang untuk terpilih mewakili skuad Harimau Malaya sememangnya bukan suatu laluan yang mudah.
Kecaman, cacian serta kritikan tanpa henti di dalam laman media sosial tentang kredibiliti seseorang pemain kebangsaan perlu difikir dua meski tiga kali sebelum kerana sudah jelas ianya suatu tindakan yang tidak matang.
Penyokong harus faham bahawa beraksi demi pasukan nasional datangnya sebagai satu keluarga besar – Malaysia.
Apa-apa persaingan di antara kelab, perbezaan pasukan, membanding-bandingkan antara pemain hanya kerana beliau tidak bermain di dalam kelab kegemaran peminat harus diketepikan apabila melibatkan tugas kebangsaan.
Tidak kiralah jika pemain tu membintangi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), atau Selangor FC, atau Terengganu FC, Sabah FC dan mana-mana kelab sekali pun, bukan kerja kita sebagai penyokong untuk merendahkan kebolehan dan bakat pemain tersebut.
Apakah hak kita untuk mengecam kemampuan seorang pemain kebangsaan?
Setiap pemain pastinya memiliki kecekapan, strategi dan teknik permainan yang tersendiri dan juga diterapkan mengikut kehendak jurulatih pasukan dalam menentang pihak lawan.
Konsepnya mudah – sekiranya perlawanan di antara negara, fokus harus diberikan kepada kemenangan bersama skuad kebangsaan dan begitu juga hendaknya tentang perlawanan antara kelab.
Skuad kebangsaan mahupun kelab, setiap pasukan mempunyai pihak pengurusan, rakan-rakan seperjuangan dan juga dibawah naungan yang berbeza.
Penyokong perlu menyedari kesilapan remeh seperti ini dari terus mengalakkan peminat bola sepak yang lain untuk mengasing-asingkan kemampuan pemain mengikut kelab yang mereka minati.
Sebagai rakyat Malaysia, kita harus teguh bersatu hati memberikan sokongan penuh buat Malaysia serta menyuntik motivasi pemain dengan hadir memeriahkan stadium demi kemenangan kita bersama.