Danial Faidz akan lebih agresif pada hari terakhir untuk berada dalam kelompok Top 5

236

Pemain golf profesional muda negara, Muhammad Danial Faidz memberitahu beliau akan turun bermain dengan lebih agresif lagi pada hari terakhir Toyota Tour Championship (Asian Development Tour) untuk cuba berada dalam kelompok teratas.

Danial telah mempamerkan aksi yang menyakinkan selepas berjaya mencatat 69 pukulan dengan tiga dibawah par, empat dibawah par secara keseluruhan untuk meletakkan beliau di kedudukan ke-12 berkongsi dengan empat lagi pemain lain.


“Mungkin saya akan bermain lebih agresif pada beberapa lubang, tapi saya akan bermain dengan permainan saya sendiri untuk cuba dapatkan birdie sebanyak yang mungkin selain mengurangkan kesilapan. Itu adalah sasaran saya esok.

Hari ini saya bermain 69 dengan double bogey di lubang terakhir tapi secara keseluruhan saya berpuas hati dan kita lihat esok bagaimana,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ia merupakan hari yang agak cemerlang buat Danial berikut beliau hanya mencatatkan skor 71 dan 72 pada dua hari pertama.

Dalam pada itu, pemain golf berusia 25 tahun ini juga berkata tahun ini merupakan musim yang agak cemerlang buat dirinya sepanjang kariernya sebagai pemain golf profesional.

“Musim ini adalah musim terbaik saya setakat ini selepas lima ke enam tahun bergelar pemain profesional. Tapi saya masih lagi menanti-nanti kejuaraan pertama saya.

Mungkin saya mampu memperoleh trofi pertama saya dalam beberapa kejohanan lagi bagi menamatkan musim ini dengan lebih cemerlang.”

Sementara itu, Danial adalah antara beberapa pemain dari Malaysia yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok Top 15.

Pemain harapan negara Galven Green kini berada di kedudukan kedua dengan 10 dibawah par ketinggalan dua pukulan dibelakang pemain dari Thailand iaitu Suttinon Panyo yang berjaya melakukan pukulan hole-in-one hari ini.

Kedua-dua pemain ini yang bermain dalam satu flight hanya sempat bermain sehingga lubang ke-15 sebelum pihak penganjur terpaksa tunda susulan hujan lebat.

Permainan akan bersambung pada awal pagi esok sebelum aksi hari terakhir akan bermula.

Kejohanan ini bermula oleh 144 pemain golf profesional dari seluruh dunia dan kini tinggal kira-kira 57 pemain yang akan terus beraksi pada hari terakhir bagi merebut wang hadiah terkumpul berjumlah RM350,000.