Goyah di hari terakhir jadi punca Galven Green gagal raih julang Toyota Tour Championship (ADT)

119

Pemain golf profesional negara, Galven Green yang cemerlang sepanjang tiga hari Toyota Tour Championship (ADT) gagal meneruskan rentaknya pada hari terakhir apabila sekadar mencatatkan skor 74, dua diatas par untuk mengumpul lapan dibawah par sepanjang kejohanan yang berlangsung di Saujana Golf & Country Club.

“Hari ini adalah hari yang cukup sukar buat saya apabila permainan saya goyah sepanjang hari ini termasuk melakukan kesilapan besar pada lubang ke-15 yang mana ia telah menyebabkan saya ketinggalan jauh dibelakang,”

katanya.

Galven bagaimanapun tetap berpuas hati apabila berjaya menamatkan kejohanan di kedudukan Top 10 bersama rakan senegara Paul San yang berjaya melakukan kebangkitan di hari terakhir.


“Top 10 masih lagi baik. Saya rasa masih ada banyak ruang untuk saya melihat semula kesilapan-kesilapan yang saya lakukan dan perbaikinya untuk kejohanan akan datang.”

Dalam pada itu, Galven memberitahu beliau mempunyai satu lagi peluang untuk cuba mengutip mata dalam ADT (Asian Development Tour) untuk cuba mendapatkan card pada kejohanan Saudi Aramco Invitational yang akan berlangsung di Rolling Hills Golf Course di Arab Saudi.

Terdahulu, beliau yang beraksi dalam Toyota Tour musim ini berjaya memperolehi kejuaraan profesional pertamanya pada Alphard Cup bulan Oktober lalu.

Beliau turut mengakui tahun ini adalah musim terbaiknya apabila berjaya memperolehi beberapa Top 5.

“Saya memperolehi beberapa kedudukan Top 5 musim ini dan kemenangan pertama tahun ini terus membakar semangat saya untuk kejohanan akan datang.”

Sementara itu, selain mahu bermain di jelajah tertinggi Asia iaitu Asian Tour, impian utama beliau adalah untuk bermain di Eropah bersama abangnya, Gavin Green yang kini bermain di DP World Tour.