Sangat bersyukur Toyota tampil untuk bantu pemain golf profesional negara – Paul San

179

Pemain golf profesional negara, Paul San berterima kasih kepada pihak Toyota yang tampil untuk memberi sokongan kepada pemain-pemain golf profesional negara apabila menjadi penaja utama untuk jelajah tempatan yang kini dikenali sebagai Toyota Tour.

Menurut Paul, beliau dan pemain golf profesional negara lain bimbang dengan sukan golf di negara selepas pemergian Pengerusi PGM, Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.


“Saya sangat bersyukur kerana selepas pemergian Tun kami semua bimbang yang kami mungkin tidak dapat bermain dalam jelajah tempatan dan memikirkan jelajah mana yang akan disertai pada tahun ini.

Tapi sangat gembira Toyota tampil untuk membantu pemain-pemain golf profesional negara dan bersyukur kerana memberikan kami banyak kejohanan pada tahun ini,”

katanya.

Paul berkata demikian selepas tamat hari keempat kejohanan Toyota Tour Championship (ADT) yang berlangsung di Saujana Golf & Country Club sebentar tadi.

Beliau yang bergelut pada hari pertama telah melakukan kebangkitan pada hari kedua, ketiga dan keempat untuk mencatatkan 280 pukulan dengan lapan dibawah par.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai prestasinya sepanjang kejohanan Toyota Tour Championship, beliau mengakui berdepan sedikit kesukaran kerana terpaksa menggunakan peralatan berusia.

“Saya rasa secara keseluruhan saya bermain dengan agak baik tetapi saya berdepan dengan masalah peralatan yang sudah berusia.

Saya sudah membuat fitting untuk peralatan baru tiga minggu lalu dan akan sampai dalam minggu ini jadi saya teruja untuk dapat dan harap ia akan tingkatkan permainan saya nanti.”

Selepas ini Paul akan terbang ke Arab Saudi untuk menyertai kejohanan Saudi Aramco Invitational yang akan berlangsung di Rolling Hills Golf Course.

Sementara itu, beliau turut mengakui masih terdapat jurang di antara pemain tempatan dengan pemain luar negara.

Beliau bagaimanapun berkata mereka akan terus berusaha dengan lebih keras untuk merapatkan jurang itu.