Tak kisah saya atau Corbin yang main, apa yang penting adalah Malaysia menang – Daniel Ting

350

Pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Daniel Ting tidak kisah samada beliau atau rakan sepasukan Corbin Ong yang diturunkan kerana apa yang penting baginya adalah skuad negara memperoleh kemenangan.

Menurut Daniel, beliau pastinya akan gembira jika diturunkan tetapi menyerahkan perkara itu kepada ketua jurulatih Kim Pan-gon untuk membuat keputusan.


“Jika ketua jurulatih turunkan saya pastinya saya gembira kerana ia adalah satu penghargaan dapat main untuk negara.

Bagi saya untuk pasukan kebangsaan kita bersama sebagai satu pasukan jadi jika saya diturunkan sudah pasti saya gembira, kalau Corbin main pun saya gembira kerana apa yang penting adalah kita menang,”

katanya.

Pada perlawanan pertama Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz baru-baru ini Daniel telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang apabila dimasukkan pada separuh masa kedua apabila mereka berjaya bangkit dari ketinggalan untuk menang 4-3 sekaligus mengesahkan tiga mata pertama.

Beliau bersama pasukan akan terbang ke Taiwan esok (Ahad) bagi mengharungi perlawanan kedua menentang pasukan kebangsaan Taiwan pada 21 November ini.

Dalam pada itu, untuk perlawanan akan datang beliau mahu pasukan meneruskan momentum cemerlang dengan menjaringkan lebih banyak gol selain cuba untuk mengelak dari dibolosi.

“Kita perlu memberi fokus penuh pada perlawanan menetang Taiwan nanti dan cuba jaringkan gol sebanyak yang mungkin dan elak dari dibolosi untuk cuba bawa pulang mata berharga ke tanah air.”