DW Consultancy mahu bantu pemain tempatan realisasikan impian beraksi di Jerman – Annil Vigneswaran

296

Pemain muda negara yang bermain bersama kelab divisyen tiga Jerman, Waldhof Mannheim II iaitu Annil Vigneswaran mahu membantu pemain-pemain muda di Asia, terutama Malaysia, merealisasikan impian mereka beraksi di Jerman melalui syarikat konsultasinya, DW Consultancy.

Katanya, syarikatnya itu bukan sahaja memfokuskan kepada pemain bola sepak, tetapi juga individu-individu yang berhasrat untuk menyambung pelajaran di Jerman.


“Saya cuba lakukan sesuatu untuk bantu orang yang mahu bermain dengan kelab di Jerman, bukan sahaja untuk pemain di Malaysia tetapi juga sekitar Asia.

Buat masa ini kita sudah dapat 50 orang dari Thailand, Singapura dan Malaysia, tetapi bukan sahaja untuk bola sepak tetapi siapa yang mahu melanjutkan pelajaran di sini juga kita boleh bantu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaubagaimanapun, Vigneswaran berkata bahawa beliau bukanlah seorang ejen, tetapi hanya membantu individu yang berminat untuk menyusun pelan mereka.

Beliau turut mengalu-alukan mana-mana ejen bola sepak yang berminat untuk berkolaborasi dengannya.

Menurutnya, beliau akan membuka peluang buat pemain yang berminat dengan mendapatkan sesi latihan dan percubaan bersama kelab di Jerman berdasarkan tahap pemain itu.

“Kita akan lihat tahap pemain berkenaan, dan mungkin akan cuba untuk terbang ke tempatnya bagi melihat aksinya.

Kita akan bawa pemain itu menjalani percubaan dengan kelab divisyen yang sesuai dengan kemampuannya, dan bukan itu saja, pemain itu juga akan dibawa untuk menonton perlawanan, merasai budaya tempatan dan lain-lain.”

Jelasnya, ini semua dilakukan selepas beliau merasai sendiri pengalaman dan cabaran yang terpaksa ditempuhi apabila kali pertama menjejakkan kaki di negara itu.