Kita perlu bawa pulang 3 mata penuh untuk teruskan momentum – Corbin Ong

209

Pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Corbin Ong memberitahu mereka perlu memastikan dapat membawa pulang tiga mata penuh apabila bertemu Taiwan pada 21 November ini bagi meneruskan momentum cemerlang mereka.

“Ya kami ada perlawanan besar akan datang yang mana kami perlu terus pamer aksi terbaik untuk seperti perlawanan sebelum ini untuk bawa pulang tiga mata penuh untuk teruskan momentum,”

katanya.

Corbin turut memberitahu bahawa barisan kejurulatihan sudah pun melakukan video analisis mengenai pasukan lawan untuk mempersiapkan pasukan.


Pada 16 November lalu, skuad Harimau Malaya berjaya melakukan kebangkitan yang cukup dramatik apabila berjaya menumbangkan Republik Kyrgyz pada perlawanan pertama Kumpulan D, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Oleh itu, skuad kendalian Kim Pan-gon kini dalam misi untuk memastikan mereka membawa pulang tiga mata penuh dan bukannya sekadar satu mata.

“Pasukan tahu kualiti yang ada pada mereka dan kami juga tahu jika tidak dapat tiga mata ia akan menghampakan.

Berdasarkan kualiti yang ada pada pasukan, saya yakin bahawa misi untuk kutip tiga mata mampu dikecapi, tapi ia tidak bermakna kami pandang rendah pada pasukan lawan.”

Beliau pada masa sama berkata mereka akan cuba menjaringkan gol sebanyak yang mungkin dan jika tidak bolos ia adalah bonus untuk mereka.

Dalam pada itu, Corbin juga mengakui persaingan sengit diantara dirinya dengan Daniel Ting yang masing-masing cuba memberikan yang terbaik untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Ya sememangnya adalah persaingan tapi kami adalah rakan baik dan kami percaya dengan persaingan sihat diantara kami dapat membantu tingkatkan kualiti pasukan ke tahap yang lebih tinggi.”