Selepas Vietnam, Thailand pula mungkin akan jadi badi buat Malaysia jika Park Hang-seo ambil alih

279

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo baru-baru ini dilaporkan berminat untuk kembali mengendalikan pasukan Asia Tenggara, kali ini bersama Thailand.

Beliau mengakui perkara itu dalam satu temubual bersama media tempatan Thailand dengan berkata bahawa dirinya tidak akan menutup kemungkinan perkara itu berlaku.


Katanya, sekiranya tawaran yang sesuai muncul, beliau mungkin akan mempertimbangkan perkara itu.

Kedudukan ketua jurulatih Thailand, Mano Polking ketika ini dilaporkan tidak begitu selamat gara-gara terdapat cubaan daripada beberapa pihak untuk menggantikannya sebelum ini.

Selain itu, kekalahan kepada China pada aksi pertama Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 turut memberi tekanan buat jurulatih itu, dengan terdapat sebilangan penyokong merasakan bahawa Thailand memerlukan angin baharu untuk terus maju.

Sekiranya Hang-seo benar-benar menerima tawaran daripada Thailand pada masa hadapan, pasukan Gajah Perang itu dilihat bakal menjadi ‘badi’ baharu buat pasukan Malaysia.

Ini kerana, ketika mengendalikan Vietnam, Hang-seo mempunyai rekod yang amat baik, tidak pernah tewas sepanjang lima tahun kepada Malaysia mengendalikan skuad itu.

Berbeza dengan Thailand, di mana kekuatan Malaysia dilihat lebih seimbang dan beberapa kali mampu menumpaskan mereka, tetapi sekiranya Hang-seo mengambil alih pasukan itu, mungkin ceritanya berbeza.

Apa yang pasti, perseteruan antara kedua-dua jurulatih, Kim Pan-gon dan Park Hang-seo serta kedua-dua negara Malaysia dan Thailand pasti akan jadi lebih menarik sekiranya ia menjadi kenyataan.