Mentaliti saya kini berbeza dan saya punya rejim latihan tersendiri – Junior Eldstal

1,071

Pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Junior Eldstal memberitahu bahawa mentaliti beliau kini sudah berbeza daripada sebelum ini selain mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam perlawanan antarabangsa.

Menurut Junior, selain mempunyai mentaliti yang lebih matang beliau juga mempunyai rejim latihan tersendiri dalam usaha untuk meningkatkan lagi prestasinya biarpun kini sudah berusia 32 tahun.


“Sekarang ini saya berusia 32 tahun tapi mentaliti saya bukan macam dulu kerana sekarang saya boleh baca permainan sebab mempunyai banyak pengalaman bermain di perlawanan antarabangsa.

Kini saya turut lebih menjaga tubuh badan berbanding dulu dan saya mempunyai program gim sendiri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain kerja kerasnya untuk memastikan sentiasa berada pada tahap terbaik, mendapat kepercayaan dan keyakinan daripada ketua jurulatih Kim Pan-gon turut memainkan peranan dalam peningkatan prestasinya.

“Yang penting ada jurulatih yang bagi anda keyakinan. Sebab itu saya suka dengan jurulatih sekarang kerana beliau beri kepercayaan kepada saya walaupun ada yang tidak yakin dengan saya.

Bila anda dapat kepercayaan daripada jurulatih, bila masuk padang pasti saya mahu beri 200% untuknya.”

Terdahulu skuad Harimau Malaya telah berjaya menewaskan Taiwan 1-0 pada perlawanan kedua Kumpulan D, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sekaligus meletakkan pasukan Malaysia kini di puncak kumpulan selepas dua kemenangan.

Dalam pada itu, Junior tidak mahu berasa terlalu selesa dengan dua kemenangan ini kerana baginya skuad negara mempunyai banyak lagi perlawanan sukar menanti mereka iaitu menentang Oman (home & away) dan Republik Kyrgyz di tempat lawan.

“Kita tahu apabila diundi dalam kumpulan ini, kita mempunyai peluang untuk layak ke pusingan ketiga tapi kita mempunyai dua perlawanan away menentang Oman dan Kyrgyz, jadi kita harus percaya pada diri sendiri.

Penyokong juga perlu beri kepercayaan kepada kami dan saya harap di Stadium Bukit Jalil Nanti (SNBJ) kita perlu pastikan pihak lawan gerun kerana kita bukan bermain dengan 11 pemain tetapi bermain dengan 12 pemain (penyokong).”

Beliau juga dapat merasakan skuad negara mempunyai peluang untuk menang menentang kedua-dua pasukan Oman dan Republik Kyrgyz atau sekurang-kurangnya seri.