TCH harap pemain yang pulang dari tugasan negara dalam keadaan terbaik menjelang perlawanan menentang Perak FC
Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe berharap pemain-pemainnya yang baru pulang dari tugasan bersama pasukan kebangsaan Malaysia berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan Liga Super menentang Perak FC pada Sabtu ini.
Menurut Cheng Hoe, Perak adalah sebuah pasukan yang baik dimana mereka bukan sahaja mampu menyerap tekanan tetapi juga mampu menjaringkan gol.
“Seperti yang kita tahu selepas Yusri Che Lah mengendalikan pasukan Perak, terdapat peningkatan dari segi permainan dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan dengan kemasukan beberapa import mereka dan pemain muda yang menyerlah memang bukan mudah untuk mana-mana pasukan bertemu mereka.
Kita perlu berwaspada dengan corak permainan mereka kerana mereka mampu menyerap tekanan dan menjaringkan gol jadi oleh sebab itu barisan kejurulatihan tekankan bahawa perlawanan menentang Perak sangat penting.
Selepas hampir dua bulan tiada perlawanan kompetitif, akhirnya hari ini kita akan turun berlatih dengan skuad penuh dan saya berharap pemain-pemain yang baru lapor diri dari skuad kebangsaan berada dalam tahap kecergasaan yang terbaik,”
katanya.
Beliau pada masa sama mahu memberi fokus penuh kepada corak permainan pasukan apabila menentang pasukan itu nanti kerana ia adalah perlawanan yang cukup penting buat skuad The Red Giants.
Selangor kini dalam misi yang cukup penting yang mana mereka perlu menang dalam baki tiga perlawanan iaitu menentang Perak, Kedah Darul Aman FC dan PDRM FC sekiranya mahu layak ke Piala AFC musim depan.
“Kita inginkan keputusan positif sebelum menentang Kedah di Stadium Darul Aman kerana ketika ini kita hanya berkelebihan dua mata sahaja, jadi perlawanan menentang Perak cukup penting untuk pasukan.”
Dalam pada itu, Cheng Hoe juga baru sahaja menandatangani kontrak lanjutan untuk terus mengendalikan skuad Merah Kuning dengan misi utama untuk meningkatkan kualiti permainan dan juga pemain di kelab itu.
“Ya saya bersama Selangor dengan kontrak dua tahun dan yang penting adalah kami nak tengok Selangor ada peningkatan dari segi permainan dan pemain.
Bukan mudah untuk mengendalikan pasukan seperti Selangor kerana expectation tinggi daripada penyokong. Saya juga gembira dengan suasana kelab dan pengurusan.”