Atlet negara akhirnya terima caruman EPF, Socso – kenapa baru sekarang?
Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF) dan Social Security Organisation (Socso) sememangnya suatu alternatif pengasingan gaji yang amat berfaedah buat para pekerja swasta demi menjamin kehidupan mereka di hari tua.
Baru-baru ini, atlet negara kita juga dikhabarkan akan akhirnya menerima caruman tersebut, setelah bertahun lamanya mereka memperjuangkan hak masing-masing.
Keputusan yang akan mula berkuatkuasa pada Januari 2024 itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Selasa lalu yang terbukti amat prihatin dengan kebajikan serta kelangsungan hidup para atlet negara selepas pesaraan mereka.
Khabar gembira itu pastinya telah menaikkan semangat hampir ke semua atlet kita untuk terus berbakti mengharumkan nama negara dan memperlihatkan Malaysia di mata dunia.
Namun begitu, mengapa hanya sekarang perkara ini menemui jalan keluar sedangkan ianya mampu dikategorikan sebagai suatu kebajikan asas mereka?
Setelah bertahun lamanya, mereka dikatakan tidak putus asa dalam mengusul dan memohon cadangan untuk caruman EPF dan Socso untuk atlet-atlet negara ini dilaksanakan.
Bayangkan juga, sudah berapa ramai Menteri Belia dan Sukan yang telah bertukar ganti dalam menerima permohonan ini namun tetap tidak melakukan sebarang tindakan susulan?
Melihatkan jangka masa karier atlet yang pendek, ianya sudah tentu sesuatu yang aneh memandangkan perkara ini melibatkan kebajikan pemain negara.
Bagaimanakah nasib bekas atlet yang telah melonjakkan nama negara selama ini?
Adakah jasa mereka hanya kekal terjamin sebagai kenangan tanpa sebarang simpanan untuk masa hadapan?
Pingat emas di setiap kejohanan terutama sukan Olimpik yang kita dambakan, namun mengapa meminta ahli sukan kita untuk kejayaan yang terlalu hebat sedangkan isu seperti ini memakan tahun untuk diselesaikan?
Diharapkan dengan adanya inisiatif ini, para atlet kita akan terus bersemangat dan berjuang demi menjadikan sukan negara Malaysia setanding negara yang lain.