Lagi konsert di SNBJ, PSM sudah buktikan yang terbaik tentang keadaan stadium
Keadaan Stadium Nasional Bukit Jalil sewaktu perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 di antara Malaysia menentang Kyrgyzstan baru-baru ini ternyata menerima pujian ramai penonton yang hadir.
Namun, rumah pasukan ‘Harimau Malaya’ yang digunakan sebagai lokasi konsert yang dihadiri artis dari luar negara malam kelmarin menimbulkan tanda tanya peminat bola sepak kebangsaan tentang kondisi stadium selepas keramaian tersebut.
Adakah ianya berkemungkinan akan memburukkan keadaan stadium yang sudah dijaga rapi sebelum ini?
Pastinya, kegusaran hati penyokong masih mampu dikawal dengan bukti yang ditunjukkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sewaktu perlawanan Kelayakan yang memiliki kemenangan besar ketika itu.
Hanya dalam beberapa minggu selepas kontroversi mengenai rumput padang yang rosak semasa perlawanan Pestabola Merdeka antara Malaysia dan India Oktober lalu, namun PSM dibawah pengendalian pengerusi mereka, Datuk Hans Issac, telah membuktikan dengan keadaan padang yang amat rapi dan kekal terjaga genap seminggu lalu.
Ini kerana perlawanan Piala Malaysia bakal berlangsung dua minggu akan datang.
Perlawanan yang akan menyaksikan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) melawan Terengganu FC itu pasti akan menarik perhatian ramai warga Johor lebih-lebih lagi diatas jasa baik Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang pernah menyumbangkan rumput jenis Zeon Zoysia dimana kosnya dianggarkan mencecah sehingga RM1.4 juta untuk stadium tersebut.
Sanggupkah kepercayaan itu dikhianati dengan pengulangan sejarah keadaan rumput padang yang rosak sekali lagi?
Sudah tentu, padang perlu kembali ‘cantik’ seperti perlawanan yang berlangsung baru-baru ini meskipun pelbagai konsert sempat diadakan di dalam stadium itu dalam masa terdekat ini.