Syaidatul Afifah tak menyesal bersara sebagai pemain boling negara kerana mahu cari karier baru
Bekas pemain boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi memberitahu beliau tidak berasa menyesal langsung dengan keputusan yang dibuatnya untuk bersara sebagai pemain boling profesional ketika sedang berada di puncak kerjayanya.
Menurut Afifah, beliau membuat keputusan itu kerana mahu mencari karier baru.
“Saya sebenarnya nak bersara lebih awal lagi tapi tak jadi dan kemudian negara dilanda pandemik COVID-19 dan apabila terpaksa duduk di rumah sahaja dan ketika itu saya beritahu ibu bapa saya yang ini adalah masanya untuk bersara dan meneroka peluang-peluang lain.
Kedua-dua ibu bapa saya menyokong penuh keputusan saya kerana saya sendiri sudah dapat apa yang dimahukan iaitu pingat emas Sukan SEA, Sukan Asia, Kejuaraan Dunia dan podium di Jellajah Wanita Dunia, jadi saya sudah merasai semuanya.
Jadi saya bersara di waktu puncak saya selepas menghantar surat peletakan jawatan sebagai pemain boling negara kepada Majlis Sukan Negara (MSN),”
katanya kepada Harimau Malaya.
Selepas bersara, wanita berusia 32 tahun itu menceburi beberapa bidang seperti pengacaraan, lakonan dan terbaru dalam bidang kejurulatihan boling.
Tidak hanya menjadi jurulatih, beliau juga mempunyai akademinya sendiri iaitu Akademi Syaidatul Afifah (A.S.A) yang melatih atlet dari usia tujuh hingga 15 tahun yang akan mengikuti latihan dibawah kendaliannya untuk jangka masa tiga hingga sembilan bulan.
Beliau pada masa sama kini merupakan jurulatih untuk pasukan negeri Perak.
Dalam pada itu, Afifah merupakan antara pemain boling yang bebas dari sebarang kontroversi sepanjang bergelar pemain negara kerana sikapnya yang tidak suka menyuarakan segala masalah atau ketidak puasan hati kepada pihak media.
“Setiap individu tidak sama dan saya sendiri akan kawal diri sendiri. Tidak dinafikan ada benda yang tidak puas hati tapi bagi saya kita perlu selesaikan masalah secara senyap-senyap tanpa mencetuskan kontroversi atau tidak menghormati orang.
Saya sendiri jika ada masalah saya tidak akan pergi ke media dan saya sendiri pernah mengalami banyak masalah sehingga memberi kesan pada diri saya tapi saya ambil pendekatan untuk tidak memperbesarkannya.”
Sementara itu, beliau turut menasihati kepada mana-mana atlet yang ingin bersara untuk menceburi karier lain perlu berani untuk teroka peluang yang ada di luar sana.