Dengan maksimum RM100,000, pemotongan mata antara hukuman menanti Selangor FC atau Perak FC
Sabtu lalu kancah bola sepak tanah air tercemar lagi dengan insiden pergaduhan yang berlaku dalam kalangan penyokong pada perlawanan Liga Super membabitkan Selangor FC dan Perak FC yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Insiden yang berlaku di luar perkarangan stadium itu telah menyebabkan kecederaan kepada beberapa penyokong selain empat buah kenderaan rosak dek kekecohan tersebut.
Susulan insiden itu, seramai 23 penyokong diberkas dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan selanjutnya.
Insiden yang melibatkan penyokong kasual Perak ini bukan kali pertama berlaku kerana sudah beberapa kali terjadi pada musim ini dan perkara ini perlu dibendung supaya ia tidak merebak dan menjadi lebih parah.
Siapakah yang akan bertanggungjawab atas insiden yang berlaku ini? Adakah pihak tuan rumah Selangor atau pihak lawan Perak?
Berdasarkan peraturan pertandingan Malaysian Football League (MFL) penyokong dilarang sama sekali merosakkan harta benda stadium, harta benda atau peralatan yang digunakan untuk pengelolaan perlawanan, harta benda awam, merosakkan atau membakar kenderaan pegawai pertandingan, kelab atau orang awam pada masa sebelum, semasa dan selepas permainan.
Merusuh, sebelum, semasa dan selepas permainan atau menyerang dan bergaduh dengan penyokong atau penonton kelab yang satu lagi atau dengan sesiapa sahaja yang berada di kawasan persekitaran pertandingan.
Sekiranya perkara-perkara yang tidak diingini berlaku atau ingkar mematuhi Perkara 2.18.1 (viii) atau melanggari mana-mana Perkara dalam peraturan MFL atau undang-undang Malaysia, maka tindakan akan dikenakan.
Antara hukuman yang menanti pihak bersalah adalah dikenakan denda maksimum RM100,000 dan membayar sebarang ganti rugi kerosakan dan/atau kelab dipotong minimum tiga mata perlawanan pada musim akan datang.
Selain itu, kelab juga mungkin akan dikenakan tindakan bermain tanpa penonton bagi beberapa perlawanan.
Apa pun kita nantikan siasatan daripada pihak polis siap terlebih dahulu sebelum MFL dan Jawatankuasa Tatatertib FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) mengambil tindakan.
Kita harapkan insiden pergaduhan dan merusuh dalam bola sepak dapat dihentikan supaya ia tidak menjadi lebih parah atau ada kehilangan nyawa dek bola sepak.