Tiada tekanan buat Homebois di M5 nanti – Daddyhood

148

Pengasas pasukan e-sukan terkenal tanah air Homebois iaitu Daddyhood berkata pasukannya tidak berasa tertekan langsung apabila bakal berentap dalam Kejohanan Dunia Mobole Legends: Bang Bang (M5) yang akan berlangsung di Manila, Filipina bulan hadapan.

Menurut Daddyhood, beliau tidak bimbang kerana kesemua pemain dan barisan kejurulatihannya berada pada tahap terbaik dan beliau yakin mereka akan teruskan momentum itu di M5.


“InsyaAllah realitinya kini mampu jadi ‘big 3’ di kejohanan dunia ini kerana saya merasakan Malaysia mempunyai potensi yang baik ketika di kejohanan luar. Dua atau tiga daripada pemain dan jurulatih kita bawa balik pingat perak ketika Sukan SEA.

Saya yakin performance mereka ada sehingga ke hari ini momentum itu ada. Kita sasar dari Januari lagi untuk ke M5 dan insyaAllah kita akan buat yang terbaik di sana.

Sejujurnya tiada tekanan kerana saya yakin dengan pasukan saya. Tambahan mereka baru pulang dari MPLI dimana 16 pasukan bersaing kita berada dalam kelompok dua terbaik di rantau yang mana Filipina nombor satu dan Malaysia nombor dua,”

katanya.

Oleh itu, beliau yakin perjalanan pasukannya di M5 nanti akan menjadi lebih mudah kerana mereka tidak akan bertemu dengan banyak pasukan gergasi.

Terdahulu Homebois berjaya melayakkan diri ke M5 selepas menjadi juara MPL Malaysia musim ke-12.

Dalam pada itu, Daddyhood juga berkata pasukan Homebois akan hadir sebagai salah sebuah pasukan pilihan untuk jadi pencabar utama kejuaraan.

Beliau pada masa sama turut menyuarakan keyakinan bahawa mereka mampu melepasi peringkat Kumpulan D.

Selain Homebois, pasukan yang turut berada dalam kumpulan tersebut adalah Geek Fam, TheOhioBrothers dan Deus Vult.

“Kita akan kekalkan barisan pemain dan kejurulatihan yang sama seperti MPL musim ke-12 termasuk dua pemain import. Sebelum ini saya pergi ke Filipina sebagai pempengaruh, tapi kali ini saya pergi sebagai pemilik pasukan.”

Sementara itu, untuk kejohanan M5 tahun ini Malaysia akan diwakili oleh Homebois dan Team SMG yang berjaya melayakkan diri menerusi M5 Wild Card.