FAM, MFL dah sedia gunakan VAR, kelab pula jangan tidak bersedia

40

Berbaki lagi dua perlawanan Liga Super sebelum musim 2023 menutup tirainya, dan musim hadapan akan menjadi satu musim yang akan membuka lembaran baharu dalam bola sepak Malaysia.

Selain jadual liga yang dipinda bagi memastikan kalendar Liga Malaysia selari dengan kalendar Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), musim depan juga bakal menyaksikan saingan Liga Super akan mengguna pakai teknologi VAR.


Latihan pengadil untuk mengendalikan VAR kini telah masuk fasa ketiga, dan telah bermula sejak 20 November lalu dan akan tamat pada 4 Disember.

Ini merupakan satu perkara yang sudah lama dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan yang sudah muak dengan  mutu pengadilan yang kurang memuaskan.

Untuk VAR dalam saingan Liga Super musim depan, ia akan dipraktikkan secara mudah alih di mana trak yang membawa teknologi tersebut akan dibawa ke setiap stadium.

Apa yang penting adalah, kelab-kelab juga harus bersedia untuk memastikan teknologi tersebut dapat digunakan dengan baik dan lancar di stadium masing-masing.

Setiap kelab harus bekerjasama rapat dengan pihak MFL untuk memastikan tiada kesukaran untuk teknologi itu digunakan.

Contohnya, sekiranya teknologi itu memerlukan jaringan internet yang kuat di stadium, pihak kelab harus memastikan ia dapat disediakan.

Jangan hanya pihak MFL dan FAM sahaja yang sudah sedia menggunakan teknologi itu, tetapi kelab pula masih terhegeh-hegeh untuk membiasakan diri.