Jika Pearly-Thinaah bergaduh lagi bagus, kalau tak gaduh saya lebih risau – Hoon Thien How

468

Jurulatih beregu badminton wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah iaitu Hoon Thien How mengakui beliau berasa lebih lega sekiranya melihat anak buahnya itu bergaduh.

Jelasnya, ia menunjukkan bahawa mereka berdua begitu bersemangat dan mempunyai keinginan yang tinggi untuk menang dalam setiap kejohanan yang disertai.


“Jika pasangan beregu bergaduh itu perkara biasalah, bagi saya kalau ada gaduh lebih bagus kerana menunjukkan mereka mahu menang, jika mereka tidak bergaduh, kami sebagai jurulatih lebih risau kerana tak tahu apa dalam kepala mereka.

Biasalah jika ada pemain bergaduh kerana tak dapat terima kesilapan pasangan mereka, jika pasangan buat salah tetapi pemain itu buat bodoh saja susah juga begitu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya, beliau ada duduk dengan kedua-dua pemain itu selepas tewas seawal pusingan pertama dalam Kejohanan China Master, dan berkata mereka berdua berbincang dengan baik mengenai apa yang tidak kena dalam perlawanan itu.

Beliau tidak mahu orang ramai menyebarkan perkara yang tidak benar dan memperbesarkan isu tersebut kerana baginya apa yang berlaku hanyalah salah satu daripada permainan.

Dalam pada itu, beliau berpendapat bahawa prestasi kedua-dua pemain itu sebenarnya agak baik kerana berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir dan separuh akhir beberapa kejohanan, namun tidak bernasib baik gagal melayakkan diri ke BWF World Tour Finals.

“Saya lihat prestasi mereka sudah bagus cuma tak layak ke World Tour Finals disebabkan terlepas beberapa kejohanan kerana kecederaan Pearly.

Jadi kita harus beri perhatian kepada kecederaannya supaya tidak berulang lagi, tetapi saya lihat keadaannya semakin baik, dia juga tidak lagi mengadu kesakitan dalam dua kejohanan terakhir ini.”

Mengenai peluang di Olimpik, beliau merasakan semua pasangan ketika ini mempunyai peluang yang sama dan tiada pasangan yang menjadi pilihan untuk menjadi juara.