Tang Jie-Ee Wei masih di tahap pertengahan, kena perbaiki lagi untuk jadi pemain ‘top’ – Nova Widianto

97

Jurulatih pasangan badminton beregu campuran negara, Nova Widianto menegaskan masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh anak buahnya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk menempatkan diri dalam kalangan pemain terbaik dunia.

Katanya, walaupun Tang Jie-Ee Wei menunjukkan peningkatan yang baik dan kini sudah berada di kedudukan kesembilan dalam ranking BWF, mereka masih lagi di peringkat pertengahan dan terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.


“Jika mahu sampai ke peringkat yang tinggi tidak mudah, mereka baru berada di ranking 10 teratas, masih lagi di tahap pertengahan.

Mereka memang pemain yang bagus tetapi mereka harus kerja keras lagi untuk berada di kelompok teratas, semuanya bergantung kepada diri masing-masing, kami sebagai jurulatih hanya memberi sokongan,”

katanya.

Katanya, antara aspek yang perlu dipertingkatkan lagi adalah teknik dan konsentrasi dalam permainan supaya tidak mudah hilang fokus apabila ketinggalan.

Sementara itu, beliau berkata persiapan ke kejohanan BWF World Tour Finals sedang berjalan dan bersyukur mempunyai tempoh dua minggu untuk mempersiapkan pasangan itu.

“Jarang kita dapat tempoh sepanjang ini kerana jadual mereka sangat padat, kejohanan ini sangat penting buat mereka kerana ia menawarkan banyak mata ke Olimpik.

Mereka perlu bekerja keras kerana tiada lawan yang mudah dalam kejohanan ini, semuanya pemain yang berada di ranking yang tinggi.”

Katanya, walaupun masih belum mendapat rehat yang secukupnya daripada kejohanan China Masters sebelum ini, mereka perlu terus berlatih untuk menghadapi kejohanan itu.

Beliau tidak mahu meletakkan sasaran yang begitu tinggi terhadap Tang Jie-Ee Wei dan berharap mereka mampu mara sehingga ke pusingan separuh akhir.