Penting untuk terapkan semangat kesukanan dalam kalangan pemain akar umbi

394

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini sukan bola sepak semakin berkembang pesat terutamanya dalam pembangunan akar umbi dengan kewujudan banyak akademi bola sepak swasta di seluruh negara.

Jika sebelum ini kanak-kanak yang berminat untuk bermain bola sepak secara sukar mendapat tempat kerana majoriti akademi bola sepak ketika itu hanya mengambil pemain-pemain tertentu sahaja, namun kini mereka mempunyai banyak pilihan untuk sertai akademi yang terbaik.


Ketika ini boleh dikatakan setiap minggu atau setiap bulan akan ada perlawanan persahabatan atau pun kejohanan membabitkan pemain bawah lapan tahun (B-8) hingga ke bawah 16 tahun (B-16).

Disebalik perkembangan yang cukup positif bola sepak tanah air, namun timbul perkara yang tidak enak didengar apabila mereka yang bermain dalam kategori bawah umur ketika ini mempamerkan permainan yang cukup agresif sehingga menyebabkan kecederaan berlaku kepada pemain lawan.

Kecoh di media sosial semalam mengenai satu video pendek perlawanan membabitkan pemain B-8 tahun yang menyaksikan seorang pemain melakukan terjahan yang cukup keras terhadap pemain lawan.

Terjahan yang dilakukan oleh pemain tersebut tampak seperti mahu mencederakan pemain lawan dan ia sesuatu isu yang perlu dipandang serius oleh setiap pihak yang terlibat dengan bola sepak di peringkat akar umbi.

Ia adalah satu terjahan yang cukup berbahaya dan boleh menjahanamkan karier seseorang pemain sekiranya kecederaan yang dialaminya serius seperti patah dan sebagainya.

Perkara itu turut mendapat perhatian daripada seorang yang terlibat dengan sebuah kelab bola sepak pembangunan Young Guns FC yang mendedahkan pemainnya juga mengalami kecederaan patah kaki dan buku lali dek terjahan keras pemain lawan.

Oleh itu, diharap jurulatih-jurulatih akademi dan kelab bola sepak di peringkat pembangunan akar umbi dapat menerapkan semangat kesukanan atau fair play kepada setiap pemain mereka supaya tidak melakukan terjahan-terjahan keras yang boleh mendatangkan kecederaan serius kepada pemain lawan.

Ya dalam sukan bola sepak perkara seperti ini boleh berlaku tetapi jika pemain-pemain diterapkan dengan semangat kesukanan yang tinggi, ia dapat mengelakkan pemain dari melakukan terjahan keras yang akan mendatangkan kecederaan serius.

Tidak hanya jurulatih, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk menasihati anak mereka untuk bermain dengan semangat kesukanan tinggi dan bukannya menggalakkan anak mereka untuk ‘parap’ kaki pemain lawan (itulah yang sedang berlaku ketika ini pada setiap kejohanan di peringkat akar umbi).

Diharap semua pihak akan mengambil serius mengenai perkara ini kerana jangan sampai satu tahap ibu bapa menyekat anak-anak mereka dari bermain bola sepak kerana bimbang mengalami kecederaan serius atau cacat.