“Sukar nak import pemain ke liga Malaysia, kebanyakannya lebih minat ke kelab Arab Saudi”
Menyoal tentang kemungkinan membawa masuk pemain dari luar negara terutamanya dari LaLiga ke liga Malaysia, Delegasi Pembangunan Antarabangsa LaLiga-Malaysia Adrian Prol Vazquez mengakui saingannya agak sengit dengan keupayaan kelab-kelab dari Arab Saudi yang tidak dinafikan mampu membeli seberapa ramai pemain yang hebat.
“Tentang urusan gaji, ianya bergantung sepenuhnya kepada kelab yang ingin melepaskan dan ingin membeli serta pemain itu sendiri sama ada beliau mahu kekal di kelab yang sama ataupun tidak.”
Katanya kepada wartawan Harimau Malaya.
Namun, beliau percaya pemain yang diimport masuk untuk beraksi bersama kelab-kelab bola sepak Malaysia sememangnya memberi banyak manfaat buat para pemain tempatan.
Vazquez merasakan ianya membantu dari segi mempelajari corak permainan bintang luar, berkongsi maklumat baharu dan juga saling bertukar teknik bermain bola yang setanding pemain di liga Europa yang jauh lebih baik.
“Kemasukan ramai pemain import ke pasukan Malaysia, contohnya kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), dapat membuka mata pemain dan juga penyokong tegar kelab itu sendiri.”
Beliau yang ditemui di SP Sports Park mengatakan dirinya suka untuk melihat kedatangan pasukan kebangsaan Sepanyol mahupun kelab dari LaLiga dalam perlawanan persahabatan bersama skuad Harimau Malaya namun beliau sedar ianya hanya boleh diputuskan oleh pihak yang berkenaan.
“Saya suka sekiranya ada perlawanan persahabatan sebegitu kerana didalam LaLiga kami sering menggalakkan pasukan bersaing dengan mana-mana pasukan dari Asia. Mungkin ianya akan berlaku suatu hari nanti.”