Saya arah pemain untuk lebih agresif di separuh masa kedua dan kita berjaya jaringkan gol – Ahmad Yunus
Ketua jurulatih PDRM FC, Dato’ Ahmad Yunus Mohd Alif mendedahkan percaturan berbeza di separuh masa kedua telah membuahkan hasil apabila pasukannya berjaya menjaringkan gol untuk menang 3-0 menentang Kuching City FC dalam perlawanan akhir pertama Piala Cabaran 2023 malam tadi.
Menurut Ahmad Yunus, pada separuh masa pertama pemainnya banyak bermain di posisi masing-masing menyebabkan mereka sukar untuk menembusi barisan pertahanan pasukan lawan.
“Pada separuh masa pertama pemain-pemain saya banyak bermain di posisi mereka sendiri dan tidak kerap melakukan serangan, jadi pada separuh masa kedua saya arahkan pemain untuk lebih agresif lagi.
Pertukaran strategi itu membuahkan hasil apabila kita berjaya menjaringkan gol sekaligus menang untuk perlawanan akhir pertama di tempat sendiri,”
katanya.
Ahmad Yunus bagaimanapun enggan berasa selesa dengan kelebihan tiga jaringan kerana baginya pasukan lawan masih mempunyai 90 minit di tempat mereka sendiri nanti dan apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.
“Walaupun kami sudah mendapat tiga gol tapi dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku jadi kita perlu membuat percaturan yang ampuh untuk mengekalkan kelebihan itu.
Pasukan lawan pastinya akan bermain mati-matian jadi kita perlu lebih berdisiplin.”
Dalam pada itu, menjelang aksi kedua yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak pada 3 Disember ini, Ahmad Yunus mahu segera memperbaiki dibahagian tengah supaya pemain bola memegang bola dengan lebih lama dan dapat membuat hantaran kepada rakan sepasukan.
Tambahnya lagi, beliau tidak mahu pemain mudah kehilangan bola kerana ia pastinya akan mendatangkan masalah buat mereka sekiranya pasukan lawan membuat serangan balas pantas.
Sementara itu, beliau turut yakin pihak pengurusan The Cops pastinya akan memberikan imbuhan kepada pemain sekiranya mereka berjaya menjulang Piala Cabaran sekaligus menjadikan 2023 sebagai musim terbaik mereka.