Abu Kamara yakin Kuching City FC mampu bangkit pada final kedua Piala Cabaran 2023

163

Penyerang sensasi Kuching City FC, Abu Kamara menyuarakan keyakinannya pasukannya mampu melakukan kebangkitan di tempat sendiri pada perlawanan akhir kedua Piala Cabaran 2023 untuk cuba merangkul kejuaraan pertama mereka musim ini.

Pada perlawanan akhir pertama yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi, Kuching City terpaksa akur apabila tewas 3-0 kepada PDRM FC.


“Kami tewas 3-0 kerana kami melepaskan tiga gol mudah kepada pihak lawan tapi kami masih mempunyai baki 90 minit pada perlawanan kedua nanti di tempat sendiri.

Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku jadi saya yakin kami mampu bangkit untuk menang sekiranya mampu menang 4-0 pada perlawanan itu nanti,”

katanya.

Oleh itu, beliua berkata mereka akan segera melupakan kekalahan pada malam tadi dan fokus untuk perlawanan kedua yang akan berlangsung pada 3 Disember ini untuk memperkemas dan memperbaiki segala kelemahan.

“Pada separuh masa pertama kami bermain dengan baik tapi kelemahan kami apabila pasukan lawan membuat serangan balas yang mana serangan mereka cukup tersusun dan mengambil setiap peluang yang terhidang.

Kita juga hilang fokus selepas gol pertama, jadi saya dan rakan sepasukan perlu lebih fokus untuk perlawanan akan datang.”

Dengan semangat ‘nothing to lose’, Abu Kamara berkata mereka akan berjuang habis-habisan pada perlawanan kedua nanti untuk cuba melakukan kejutan.

Dalam pada itu, beliau turut teruja dengan kehadiran semula kejohanan Piala Cabaran pada musim ini kerana ia memberi peluang kepada kelab lain untuk mencipta sejarah mereka sendiri.

“Kejohanan Piala Cabaran ini bagus pada pandangan saya kerana ia sekurang-kurangnya memberi ruang dan peluang kepada pasukan lain untuk masuk ke final kerana sudah bertahun-tahun Johor Darul Ta’zim (JDT) mendominasi dalam semua kejohanan.

Kehadiran kejohanan ini memberi peluang kepada kelab lain untuk mencipta sejarah mereka sendiri.”