Kedah sudah letak ‘benchmark’ ketika menentang JDT, jadi kami perlu lebih berwaspada – Tan Cheng Hoe

395

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe memberitahu Kedah Darul Aman FC (KDA) sudah meletakkan satu tanda aras terbaik ketika mereka menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), jadi mereka perlu lebih berwaspada nanti.

Selangor akan turun ke Stadium Darul Aman pada Sabtu ini dalam perlawanan Liga Super yang mana ia merupakan perlawanan yang cukup penting buat kedua-dua pasukan dalam usaha mereka merebut tiket ke Piala AFC musim depan.


“Contoh terbaik kita lihat Kedah ketika mereka menentang JDT yang mana saya rasa ia adalah satu ‘benchmark’ di mana mereka mampu menjaringkan tiga gol menentang JDT.

JDT ketika itu dalam prestasi terbaik tapi Kedah mampu menjaringkan tiga gol, jadi kita perlu lebih berwaspada dari minit pertama hingga ke wisel penamat,”

katanya.

The Red Giants kini berada di kedudukan liga dengan kelebihan dua mata sahaja di hadapan Sang Kenari, oleh itu mereka perlu pastikan dapat bawa pulang tiga mata penuh di tempat lawan sekiranya mahu merealisasikan impian ke pentas Asia.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata persiapan pasukan menjelang perlawanan pada Sabtu ini berjalan dengan cukup baik dengan kesemua pemain dalam keadaan cukup bermotivasi selepas kemenangan 4-0 ke atas Perak FC baru-baru ini.

“Latihan dalam beberapa hari ini cukup bagus dengan fokus kita perlawanan menentang Kedah di Darul Aman nanti dan kita harap suasana dan berita baik adalah kesemua pemain bebas dari sebarang kecederaan sekaligus memberikan kelegaan kepada pasukan.”

Beliau juga menyuarakan keyakinan terhadap pasukannya yang mempunyai keinginan yang cukup tinggi untuk mendapat keputusan positif di tempat lawan.

Sementara itu, beliau turut berkata tuntutan penyokong untuk melihat pasukan berjaya ke Piala AFC bukan satu tekanan buatnya dan pemain sebaliknya sebagai satu cabaran dan motivasi untuk mereka.