Pramusim di Eropah pula, JDT sudah sedia teruskan dominasi dalam saingan domestik

108

Johor Darul Ta’zim (JDT) akan meneruskan ‘tradisi’ mengadakan kem latihan di luar negara pada pramusim, apabila sah mengumumkan kelab itu akan menjalani pramusim 2024 dan 2025 di Sepanyol dan Portugal.

Ia berikutan perbincangan antara pemiliknya iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pemilik Portimonense FC, Constantin Teodoro Panagopoulos, yang merupakan sahabat baginda dan pemegang saham beberapa kelab di Eropah.


Melalui sesi pramusim itu, JDT juga dibenarkan untuk menggunakan fasiliti latihan terbaik di Portugal tanpa menanggung sebarang kos.

Sebelum ini, JDT setiap tahun menjalani latihan pramusim di Dubai dan menentang pasukan-pasukan ternama Eropah seperti Zenit St Petersburg.

Pramusim di Eropah ini dilihat satu lagi langkah ke hadapan yang dilakukan oleh kelab itu untuk meningkatkan standard, memandangkan tahap bola sepak di Eropah boleh dianggap sebagai terbaik di seluruh dunia.

Ia dijangka akan memberikan manfaat yang lebih besar buat JDT, dan seperti setiap musim, mereka pastinya akan tampil lebih baik daripada musim terdahulu.

Selain menjalani latihan pramusim, JDT dijangka akan mengatur beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab Eropah.

Ini dilihat salah satu daripada sebab mengapa JDT semakin lama berada di tahap yang lebih tinggi berbanding kelab-kelab tempatan lain.

Pramusim yang berkualiti menjadikan pasukan itu lebih ‘segar’ dan tampil lebih kuat berbanding pasukan-pasukan lain yang kebanyakannya hanya menjalani latihan di dalam negara atau di negara-negara yang tidak mempunyai fasiliti berkualiti seperti di Eropah.

JDT juga merupakan satu-satunya pasukan yang sudah mempunyai perancangan untuk pramusim bagi 2024 dan 2025, justeru tidak hairanlah mereka mampu mendominasi saingan domestik kerana mempunyai perancangan dan visi yang jauh ke hadapan.