Ng Tze Yong optimis mampu layak ke Sukan Olimpik Paris
Pemain badminton perseorangan negara, Ng Tze Yong menyuarakan keyakinannya mampu layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 berdasarkan kedudukan semasa ranking ketika ini.
Menurut Tze Yong, beliau perlu terus kekal konsisten untuk cuba mengutip mata sebanyak yang mungkin sehingga April depan.
“Berdasarkan ranking semasa saya, saya lihat saya masih ada peluang kerana berada di kedudukan ke-13, jadi saya perlu kekal konsisten,”
katanya.
Beliau turut mengakui sedikit bergelut untuk konsisten dari satu kejohanan ke kejohanan lain yang mana ia menjadi aspek utama yang mahu diperbaikinya.
“Saya rasa saya harus lebih konsisten kerana kadang-kadang saya boleh tewaskan pemain top dan esok hari saya boleh kalah. Jadi saya harus konsisten.”
Beliau yang baru sahaja pulang dari kejohanan China Masters 2023 hanya mengambil cuti tiga hari sahaja sebelum kembali turun berlatih.
Tze Yong kini mempunyai tempoh kira-kira sebulan lagi untuk mempersiapkan diri untuk kejohanan Malaysia Open 2024.
Dalam pada itu, beliau turut gembira melihat prestasi cemerlang rakan senegara Lee Zii Jia yang kini kembali dalam prestasi terbaik.
“Saya lihat prestasi beliau sangat bagus setakat ini untuk merebut peluang bersama ke Olimpik Paris.”
Sementara itu, berdasarkan semakan di laman sesawang BWF, Tze Yong kini berada di kedudukan ke-15 dalam ranking dunia dan ke-10 dalam ranking jelajah dunia.