Berlatih pakai baju Selangor FC, Luqman Hakim bersedia untuk kembali ke Liga Malaysia?
Selepas tamat menjalani latihan bersama skuad B-23 negara baru-baru ini, Luqman Hakim nampaknya tidak terus pulang ke kelabnya di Iceland, Njardvik FC sebaliknya masih kekal berada di Malaysia.
Satu klip video yang memaparkan Luqman menjalani latihan dipercayai di satu tempat di dalam negara mengenakan jersi Selangor FC tular di media sosial baru-baru ini, yang dimuat naik oleh seorang fisio kelab itu.
Peminat bola sepak tempatan begitu teruja melihat pemain itu menyarung jersi Selangor dan berharap ia menjadi kenyataan kelak.
Luqman bukanlah sosok yang asing dengan Selangor kerana sebelum berhijrah ke Eropah bersama kelab KV Kortrijk, Luqman pernah bersama dengan Selangor II.
Bagaimanapun, selepas berhijrah ke Eropah, kariernya masih lagi belum berkembang kerana jarang mendapat peluang untuk bermain.
Justeru, ramai yang merasakan bahawa beliau patut kembali semula ke Liga Malaysia untuk mendapat minit permainan yang mencukupi bagi memastikan perkembangannya tidak tersekat.
Berdasarkan kontraknya bersama KV Kortrijk, pemain berusia 21 tahun itu masih mempunyai baki sehingga 2025.
Tetapi, beliau boleh saja dipinjamkan seperti yang sedang berlaku bersama Njardvik ketika ini.
Dengan video terbarunya itu, mungkinkah beliau sudah bersedia untuk beralih angin seketika untuk mendapatkan minit permainan?
Selangor juga pastinya terbuka untuk menerima kembali bekas pemain mereka itu kerana sudah tahu akan kualiti yang dimilikinya.