‘Anugerah Jago e-Sukan’ akan diadakan Februari 2024, akhirnya pengiktirafan khas buat atlet e-Sports!

134

Seiring peredaran zaman, arena e-Sukan dilihat semakin mendapat tempat di hati warga belia negara kita.

Namun, jarang sekali kita melihat para atlet sukan itu menerima pengiktirafan yang setimpal dengan usaha yang mereka berikan dalam setiap kejohanan yang dipertandingkan.


Khabar baik buat atlet e-Sukan negara, ‘Anugerah Jago e-Sukan’ akan diadakan pada Februari tahun hadapan.

Dengan kerjasama erat aplikasi Esportsmy dan MAQNA eSports Club, yang disokong penuh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Malaysian Esports Federation (MESF) dan Esports Intergrated (ESI), anugerah ini akhirnya dilancarkan demi menaikkan semangat jaguh e-Sukan tanah air.

Pempengaruh Muhammad Fauzi Ramli atau lebih mesra dengan panggilan ‘Popopoije’ memuji pelancaran anugerah ini setelah lama sukan ini bertapak di negara kita.

“Ianya amat bagus demi meraikan badan yang terlibat dan juga orang-orang besar yang sudah wujud dari awal sukan ini mula diterima.”

“Sudah lama ianya bertapak dalam negara kita tetapi tak ada pengiktirafan secara menyeluruh.”

“Kita dah ada anugerah seperti Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah Bintang Popular (ABP), Anugerah Meletop, jadi kita nak konsep yang lebih fun juga untuk e-Sports.”

Jawabnya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang ditemui di ESI Hub@Spacerubix Puchong berkata ianya penting buat suatu penanugerahan mempunyai hala tuju yang tersendiri.

“Sebab itulah kita akan memberi peluang buat orang luar untuk mengundi bagi anugerah kita yang juga barangkali bertemakan fantasi.”

Setiausaha Agung MESF Muhammad Naim Al-Amin turut memberi bayangan bahawa Anugerah Jago e-Sukan ini berkemungkinan akan dijadikan upacara tahunan, bermula tahun hadapan.

“Kita harap ianya boleh bagi lonjakan kepada mereka untuk mencapai target bermain dan ‘achievement’ individu serta menyuntik semangat buat para pemain.”

Semoga dengan penganugerahan seperti ini, atlet e-Sukan negara akan lebih dihargai sekaligus menaikkan motivasi pemain untuk terus berjuang dalam sukan ini.