Kalau banding dengan pasukan Top 4, hanya Kedah saja tiada pemain tempatan kebangsaan – Nafuzi Zain

847

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA), Nafuzi Zain nyata berpuas hati dengan persembahan pemain-pemainnya biarpun mereka tewas 1-0 kepada Selangor FC dalam perlawanan Liga Super malam tadi.

Kekalahan di Stadium Darul Aman itu menyaksikan Kedah gagal untuk merebut tempat ke kejohanan AFC Champions League 2 (ACL 2) dan mempunyai baki satu perlawanan menentang Sabah FC bagi merebut kedudukan ketiga liga.


“Saya sangat berpuas hati sebab berada dalam kedudukan Top 4 Liga Super dengan tahun pertama saya dan pemain baru. Dengan komitmen pemain sejak dari awal musim hingga sekarang saya cukup berpuas hati.

Jika kita bandingkan empat pasukan teratas, Kedah adalah satu-satunya pasukan yang tiada pemain tempatan kebangsaan. Kita tengok Sabah FC, Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim mereka mempunyai ramai pemain tempatan kebangsaan dalam pasukan.

Ya penjaga gol Kalamullah kadang-kala dipanggil ke kem negara, tetapi itu pun kadang-kala sahaja,”

katanya.

Tambahnya lagi, beliau cukup berbangga dengan pasukannya sepanjang musim ini terutamanya pada pusingan kedua liga apabila mereka hanya tewas dua kali sahaja sekaligus memperlihatkan peningkatan yang cukup membanggakan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perlawanan malam tadi, Nafuzi berkata kedua-dua pasukan bermain dengan cukup baik dan hanya dipisahkan dengan ketajaman pemain Selangor.

“Pemain telah memberikan segalanya yang terbaik tetapi kita tengok dari segi siapa lebih klinikal. Dari segi peluang dan menjaringkan Selangor ada.

Kita juga berpeluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak berjaya dan Selangor yang berjaya jaringkan gol. Pemain terus mencuba sampai wisel penamat tapi tidak berjaya. Dari segi komitmen dan persembahan pemain saya cukup berpuas hati.”