Usah gaduh lagi, masa untuk FAM bina stadium bola sepak sendiri!

836

Sudah tiba masanya untuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serius mempertimbangkan pencarian dana dan mewujudkan ‘stadium bola sepak’ khas buat skuad Harimau Malaya.

Stadium yang dibina khusus untuk perlawanan bola sepak milik oleh FAM sendiri yang dibuka untuk sewaan sekiranya ada perlawanan besar dan sebagainya.


Apa pandangan anda? Andai isu ini dibangkitkan, ia pasti akan mencuri tumpuan ramai pihak berkepentingan akan tampil ke hadapan, termasuk pihak kerajaan.

Ini kerana kita amat memerlukan inisiatif ini untuk dilaksanakan demi mengelak dari terus terpalit konflik yang tiada berkesudahan.

Terdapat banyak kaedah bagi menjana pendapatan serta pulangan setimpal, antaranya dengan penjenamaan stadium dengan nama yang terbaik.

Sebagai contoh, Axiata Arena serta Spotify Nou Camp yang mampu menyumbang pulangan hingga mencecah jutaan ringgit.

Kita perlu berfikir secara realisitik dalam dasar ini.

Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebenarnya bukanlah ‘Rumah Harimau Malaya’ seperti yang digembar-gemburkan selama ini kerana ianya adalah hak milik Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sepenuhnya.

Ia merupakan sebuah stadium serbaguna, termasuklah terbuka kepada konsert dari artis luar negara, yang amat kerap diadakan dan berjaya menjana keuntungan besar.

Contoh dapat dilihat apabila artis luar negara, Coldplay yang berjaya memecah rekod dalam memenuhkan stadium sewaktu konsert mereka beberapa minggu lalu.

Meskipun mendapat bantahan ramai pihak, ianya tetap diteruskan dan disambut baik oleh semua kaum dan meraih keuntungan yang cukup banyak.

Kebenaran yang pahit untuk kita terima, SNBJ sudah diibaratkan bagai sebuah ‘homestay’ buat skuad Harimau Malaya. Hanya memerlukan wang yang mencukupi untuk disewa sahaja seperti terma ‘Siapa cepat, dia dapat’.

Benar sekali, FAM akan memiliki sebuah stadium dibawah pembiayaan FIFA-AFC di Putrajaya yang dimana kos pembinaan mencecah USD50 juta.

Mempunyai keluasan keseluruhan sebesar 580,000 kaki persegi serta mempunyai rumput padang mengikut ‘standard’ kualiti FIFA, namun begitu, saiz stadium tersebut dikhabarkan tidaklah begitu besar. Barangkali hanya dapat memuatkan kurang dari 15,000 penyokong.

Ia lebih sesuai dijadikan sebagai stadium buat lokasi latihan serta perlawanan persahabatan.

Marilah kita memikirkan visi jangka masa panjang untuk skuad kebangsaan demi mengelakkan konflik dari mana-mana pihak, demi kemajuan bola sepak Malaysia.

Majulah bola sepak untuk negara!