Lee Zii Jia boleh keluar BAM jika penuhi 2 syarat?
Sejak beberapa minggu ini isu membabitkan pemain badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semakin panas sehingga mendapat perhatian dunia.
Ini kerana BAM baru-baru ini dalam sidang medianya telah memutuskan untuk tidak akan mendaftarkan pemain nombor satu negara itu selama dua tahun dalam mana-mana kejohanan badminton antarabangsa.
Keputusan itu dibuat selepas juara Seluruh England tersebut bertegas mahu meninggalkan persatuan itu dan bergerak secara profesional.
Walaupun ramai yang mengecam dan mengkritik tindakan BAM, namun BAM tidak boleh dipersalahkan seratus peratus kerana Zii Jia masih terikat dengan kontrak bersama badan induk badminton negara itu.
Selepas keputusan dari BAM, Zii Jia telah dilaporkan mengemukan surat rayuan rasmi kepada BAM berhubung ‘larangan’ daripada sebarang kejohanan.
Isu ini juga telah mendapat perhatian daripada Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Ahmad Faizal Azumu yang cuba bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kemelut ini.
Tidak dapat dinafikan kedua-dua Zii Jia dan BAM mempunyai agenda dan perancangan mereka sendiri tetapi mereka perlu mencari jalan penyelesaian demi kebaikan bersama.
Bagi pihak Zii Jia, beliau mahu bergerak secara sendiri untuk mengatur sendiri kerjaya badminton secara profesional, manakala BAM pula mengutamakan kepentingan negara.
Mungkin BAM boleh mengenakan dua syarat untuk Zii Jia sekiranya beliau tetap berkeras mahu keluar dari persatuan itu.
Zii Jia perlu bayar pampasan setimpal kepada BAM
BAM ketika dalam sidang media mereka tidak langsung menyebut soal pampasan kerana wang bukanlah keutamaan mereka dalam isu ini sebaliknya kepentingan negara.
Tetapi jika Zii Jia tetap berkeras tidak mahu lagi bersama BAM, mungkin BAM boleh minta Zii Jia tebus kontraknya dengan membayar sejumlah wang pampasan. Ini kerana mereka telah banyak melabur kepada pemain itu sejak beliau berusia 13 tahun lagi.
Jadi logik sekiranya BAM tuntut pampasan daripada Zii Jia kerana BAM belum mendapat ‘pulangan’ dengan ‘pelaburan’ mereka daripada Zii Jia. Jangan jadi ‘kacang lupakan kulit’ kerana BAM sudah banyak melabur wang dan kepakaran untuk pemain itu menjadi pemain terkemuka dunia, tapi bila sudah berjaya buat BAM macam musuh.
Zii Jia perlu sedar diri tanpa BAM beliau mungkin tidak mampu mengecapi segala kejayaan yang dinikmati ketika ini. Jangan terlalu ‘gelap mata’ dengan tawaran lumayan kerana sebelum ini terdapat laporan bahawa pemain itu mendapat tawaran jutaan ringgit jika keluar dari BAM.
Boleh main secara profesional, tapi tidak boleh pilih kejohanan
Dalam tuntutan Zii Jia yang mahu bergerak secara profesional kerana mahu pilih kejohanan yang akan disertai. Ia dilihat untuk kepentingan diri sendiri, manakala BAM pula mahu pemain-pemainnya mengutamakan kepentingan negara.
Zii Jia mungkin perlu akur dengan keputusan ini sekiranya beliau mahu menyelamatkan karier badminton. Jika beliau tetap berkeras mahu pilih kejohanan, maka beliau sepatutnya bersedia untuk berdepan ‘larangan’ tidak dapat beraksi di pentas antarabangsa dan berkemungkinan akan memusnahkan karier badmintonnya.
Jika BAM boleh bertolak-ansur membenarkan Zii Jia bermain secara profesional dengan syarat beliau tidak boleh memilih kejohanan, jadi beliau sepatutnya terima sahaja syarat ini kerana ia bagus untuk dirinya juga dan yang paling penting untuk negara tercinta.
Walaupun ini hanyalah cadangan, tetapi pihak BAM boleh mempertimbangkan dua syarat ini kerana mereka juga tidak mahu mensia-siakan bakat yang ada pada pemain muda itu. Jadi satu solusi menang-menang perlu dicapai secepat mungkin sebelum kalander Persatuan Badminton Dunia (BWF) bermula.