Apa lagi BAM buat ni?
Andai benar dakwaan tentang BAM akan menamatkan khidmat tiga jurulatih badminton negara iaitu Tey Seu Bock, Indra Wijaya dan Paulus Firman, menimbulkan persoalan apa sebenarnya yang cuba dilakukan badan induk badminton negara itu?
Selepas macam-macam perkara yang berlaku, tidakkah BAM memikirkan kesan daripada tindakan yang mereka ambil ini?
BAM muncul sebagai topik yang hangat diperkatakan peminat sukan tempatan kebelakangan ini. Setiap tindak-tanduk BAM mula menjadi perhatian netizen, termasuklah khabar angin yang mengatakan mereka tidak akan menyambung kontrak tiga jurulatih tersebut. Ini menimbulkan persoalan, tidakkah BAM mengambil berat tentang sustainability sukan badminton negara?
Datuk Tey Seu Bock dilihat mempunyai prestasi yang baik dalam mengemudi pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia juga merupakan anak didiknya serta beberapa lagi pemain muda dalam ‘pembikinan’. Malah dulu, Datuk Lee Chong Wei juga pernah berlatih di bawah kendalian beliau.
Berbeza dengan prestasi Indra Wijaya dan Paulus Firman yang dilihat agak mendatar. Melihat prestasi beregu campuran yang terkandas di peringkat kumpulan pada Olimpik Tokyo 2020 dan kegagalan Soniia Cheah dalam aksi sulungnya di pentas Olimpik seawal perlawanan pertama, mungkin ini wajar untuk dipertimbangkan BAM.
Terlalu banyak isu yang melibatkan BAM, termasuk para pemain yang datang dan pergi. Kini, isu jurulatih pula yang terpalit sama apabila nasib mereka turut menjadi taruhan. Namun, keputusan penentuan mengenai perkara tersebut hanya akan diumumkan setelah penilaian menyeluruh dibuat sebagai jawapan ‘berdalih’ dari BAM.
Namun, BAM perlu mempertimbangkan banyak perkara mengenai pemain dan jurulatih agar kelak tidak memberi kerugian kepada arena badminton negara yang terpaksa kehilangan banyak bakat-bakat besar dan berpotensi. Tidak dapat dinafikan, badan induk badminton itu pasti merasakan tekanan yang luar biasa ketika ini.
Meskipun isu mengenai pemain perseorangan Lee Zii Jia dilihat menemui penyelesaian buat sementara waktu ini selepas BAM bersetuju memberi ‘lampu hijau’ kepada Zii Jia untuk bergerak secara profesional, diharapkan selepas ini BAM harus ambil langkah proaktif demi kepentingan semua pihak dan perkara sebegini tidak akan berulang lagi dalam arena badminton negara.